Hakim bebas buat keputusan berdasarkan fakta, undang-undang - Ketua Hakim Negara

LocalPolitics
15 Jan 2024 • 4:39 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Para hakim bebas untuk membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang tanpa sebarang rasa gusar terhadap natijah politik atau sosial berhubung keputusan mereka, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata berbeza dengan ahli politik, hakim tidak perlu menjawab kepada sesiapa, atau diperintah oleh desakan politik atau populariti.

“Seorang hakim seharusnya menjadi penimbangtara berperlembagaan yang bebas bagi keadilan, antara negara dan subjek-subjeknya (dan sebaliknya), serta antara subjek-subjek sesama sendiri.

“Kesetiaan hakim jelas dalam sumpah kehakimannya yang ditauliahkan oleh Perlembagaan, diikrar bagi tujuan melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,“ katanya semasa berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Merujuk kepada keputusan Pendakwa Raya menarik balik tuduhan jenayah terhadap individu berprofil tinggi sebelum ini, Tengku Maimun berkata keputusan-keputusan ini mungkin tidak diterima dengan baik oleh orang ramai, namun sebahagian besar kesalahan diletakkan pada badan kehakiman kerana terpaksa mengeluarkan perintah yang tinggal sahaja, setelah pertuduhan ditarik balik.

Tengku Maimun berkata tanpa sebab badan kehakiman dianggap ‘penjahat’ terhadap tindakan atau ‘tiada tindakan’ badan lain dalam sistem keadilan.

Beliau turut mengetengahkan dua keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini termasuk kes Forum SIS, yang pada dasarnya menyentuh persoalan sama ada badan perundangan Negeri Selangor diberi kuasa untuk meluluskan undang-undang tertentu.

“Ini adalah bentuk cabaran yang jelas dan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan kita. Malangnya, kedua-dua kes ini dijadikan oleh sesetengah pihak ‘lebih’ daripada apa yang sebenarnya.

“Kes-kes ini tidak ada kaitan dengan hakikat agama Islam yang tulen. Ia hanya bertujuan menekankan semula persempadanan kuasa yang jelas antara persekutuan dan negeri-negeri,” katanya.

Tengku Maimun berkata komen pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab disasarkan untuk menggambarkan bahawa Badan Kehakiman mempunyai “agenda” atau motif untuk menghapuskan Islam di negara ini, atau agenda menghapuskan sistem perundangan Islam di Malaysia.

“Komen dalam kedua-dua kes adalah jauh dan luas. Dalam sesetengah bahagian, komen-komen ini secara tidak wajar mempersoalkan kepercayaan peribadi Hakim tertentu atau malah motivasi mereka dalam membuat keputusan sedemikian.

“Di satu sudut lain, komen sedemikian menimbulkan kebencian dan niat jahat dalam kalangan orang ramai terhadap badan kehakiman, atau kebimbangan terhadap keputusan nanti yang dianggap telah diputarbelitkan. Di sudut lain pula, orang ramai dihimpunkan, dan kehadiran mereka digunakan untuk menakut-nakutkan para hakim.

“Contoh ini menunjukkan bagaimana kebebasan kehakiman terhakis dan bagaimana keyakinan orang ramai terhadap Badan Kehakiman terjejas,” tambahnya. - Bernama