Hala Tuju Pangkalan Data Utama (PADU) Dalam Meningkatkan Kecekapan Dan Keberkesanan Perkhidmatan Kerajaan

Local
21 Apr 2026 • 12:06 PM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: Hala Tuju Pangkalan Data Utama (PADU) Dalam Meningkatkan Kecekapan Dan Keberkesanan Perkhidmatan Kerajaan
Gambar oleh Bernama

YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir, Menteri Ekonomi hari ini dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi bagi bulan April 2026, antara lain telah mengumumkan Portal PADU yang telah ditambah baik dengan naratif dan halatuju baharu boleh diakses oleh orang awam.

Manakala bermula bulan Mei 2026, Kementerian Ekonomi akan mula menawarkan perkhidmatan analitik data PADU (Analytic-as-a-Service) kepada agensi kerajaan menerusi portal analitik PADU. Perkhidmatan ini membolehkan agensi kerajaan melaksanakan analisis sosioekonomi yang lebih mendalam bagi menyediakan program sosioekonomi yang dapat memenuhi keperluan rakyat dan seterusnya mempertingkat kesejahteraan rakyat.

Pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai platform tunggal maklumat profil individu dan isi rumah di Malaysia telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Jemaah Menteri bertarikh 3 November 2023. Pembangunan PADU melibatkan kerjasama antara Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Jabatan Digital Negara.

Asas pembangunan PADU adalah pengintegrasian data daripada pelbagai agensi dengan maklumat yang dikemas kini oleh rakyat. Seramai 10.5 juta individu warganegara dan pemastautin tetap berumur 18 tahun telah mengemas kini maklumat di portal PADU pada 2 Januari hingga 31 Mac 2024.

Sehingga April 2026, PADU mengandungi sejumlah 30.7 juta profil sosioekonomi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, hasil daripada pengintegrasian secara berterusan dengan pelbagai agensi. Dengan keupayaan pengintegrasian ini, rakyat tidak perlu lagi mengemas kini maklumat di portal PADU.

Keterangkuman dan ketersediaan data membolehkan PADU menyediakan Perkhidmatan Profil (Profile-as-a-Service); Perkhidmatan Analitik (Analytics-as-aService); Perkhidmatan Data (Data-as-a-Service); dan Perkhidmatan Platform Penyatuan Data (Unified Data Platform) untuk dimanfaatkan oleh agensi kerajaan. Bermula tahun 2025, Kementerian telah menyediakan perkhidmatan profil dan data kepada agensi kerajaan selaras dengan perundangan dan peraturan semasa yang berkuatkuasa. Sehingga Mac 2026, sebanyak 26 permohonan daripada agensi kerajaan telah diluluskan. Antara kegunaan data adalah perancangan dasar, reka bentuk program serta semakan dan verifikasi maklumat. Penggunaan data PADU oleh agensi kerajaan dijangka akan meningkat selaras dengan usaha ke arah kerajaan berpacukan data (data-driven government).

Seiring dengan ekspektasi rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan, kebergantungan kepada data yang bersepadu, konsisten, selamat dan boleh dipercayai menjadi semakin penting dalam menyokong pembuatan keputusan kerajaan. Oleh itu, PADU kini berfungsi sebagai back-end kepada perkhidmatan kerajaan melalui penyediaan repositori profil sosioekonomi rakyat yang terangkum dan menghampiri masa nyata. Dalam soal keselamatan data, PADU telahpun didaftarkan sebagai aset di bawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII), selaras dengan Akta Keselamatan Siber 2024. Dalam hal ini, sebanyak sembilan (9) bidang tumpuan akan menjadi keutamaan iaitu; reformasi pendidikan; reformasi kesihatan; reformasi pasaran buruh; reformasi perumahan; peningkatan tahap sosioekonomi golongan sasar; pengukuhan keselamatan dan pertahanan; persediaan menuju negara tua; pemantapan pengurusan bencana dan pemerkasaan GovTech ke arah pembaharuan perkhidmatan kerajaan.

Pautan Portal PADU boleh diakses di https://padu.gov.my.