
WASHINGTON – Presiden Donald Trump semalam mengumumkan persetujuan ‘pelucutan senjata sepenuhnya’ oleh kumpulan Hamas, menyifatkannya langkah kritikal ke arah penubuhan kerajaan Palestin baharu di Semenanjung Gaza.
Tiada kenyataan segera daripada Hamas mengenai persetujuan tersebut.
“Hari ini (semalam), Lembaga Keamanan mencapai persetujuan BERSEJARAH untuk PELUCUTAN SENJATA SEPENUHNYA Hamas dan semua kumpulan bersenjata lain di Gaza. Ini langkah monumental ke arah KEAMANAN dan KESELAMATAN berkekalan,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya, sambil berkata, pelucutan senjata akan berlaku dalam ‘fasa yang disusun rapi’.
“Apabila pelucutan senjata selesai, tentera Israel akan berundur dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa akan bekerjasama dengan polis Palestin yang baharu untuk memikul tanggungjawab memastikan Gaza selamat untuk penduduk dan jiran-jirannya,” tambah Trump, sambil turut berterima kasih kepada perantara Mesir, Qatar serta Turkiye.
Isu pelucutan senjata Hamas yang rumit menjadi salah satu titik buntu utama dalam kemajuan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza sejak Oktober 2025.
Walaupun wujud gencatan senjata, keganasan masih berterusan di Gaza, dengan serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya empat orang termasuk dua kanak-kanak semalam.
Dalam pada itu, Kaherah dijadualkan menjadi tuan rumah mesyuarat perantara gencatan senjata Gaza ‘tidak lama lagi’, yang turut melibatkan Amerika Syarikat, Qatar dan Turkiye, lapor saluran berita Al-Qahera News hari ini.
Di bawah rancangan damai 20 perkara Trump untuk Gaza, fasa kedua gencatan senjata itu akan melibatkan pelucutan senjata Hamas dan pengunduran secara beransur-asur tentera Israel dari wilayah Palestin tersebut. – AFP
The post Hamas setuju letak senjata sepenuhnya – Presiden Trump appeared first on Kosmo Digital.

