
BANDAR GAZA: Pemimpin kanan Hamas menuntut Israel berundur secara berperingkat dari Semenanjung Gaza seperti termaktub dalam proses pelucutan senjata kumpulan itu seperti diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis.
Perkembangan itu berlaku ketika negara pengantara meneruskan usaha memajukan fasa seterusnya kerangka gencatan senjata yang dibentangkan di bawah pelan Trump.
Media Al-Qahera News melaporkan Kaherah dijadual menjadi tuan rumah mesyuarat dalam masa terdekat yang melibatkan negara pengantara gencatan senjata iaitu Mesir, AS, Qatar dan Turkiye.
Mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada mekanisme pelaksanaan fasa kedua berdasarkan pelan hala tuju yang dipersetujui Hamas dan beberapa kumpulan Palestin bagi memuktamadkan pengaturan berkaitan pengunduran tentera Israel, pentadbiran masa depan Gaza, mekanisme keselamatan serta isu kemanusiaan.
Anggota biro politik Hamas yang juga wakil delegasi rundingan, Ghazi Hamad berkata, simpanan senjata akan berada di bawah penyeliaan Jawatankuasa Kebangsaan Palestin dan tidak akan tertakluk kepada kawalan Israel.
Katanya, perjanjian itu turut mewajibkan Israel membuka semula semua lintasan sempadan dan menghentikan pembunuhan bersasar.
“Sebaik sahaja perjanjian diluluskan, Israel wajib melaksanakan semua komitmennya tanpa sebarang kelewatan. Jika Israel tidak mematuhi perjanjian itu, kami juga tidak akan mematuhinya,” Hamad.
Walaupun Hamas memaklumkan kemajuan dicapai, beberapa kumpulan Palestin menegaskan pelaksanaan perjanjian itu mesti disertakan dengan jaminan yang jelas serta komitmen daripada Israel. – AGENSI
The post Hamas tuntut Israel patuhi perjanjian berundur dari Gaza appeared first on Utusan Malaysia.
