Hamidin Jumpa Presiden JFA Bincang Kerjasama Malaysia-Jordan

Politics
26 Jan 2023 • 12:38 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Hamidin Jumpa Presiden JFA Bincang Kerjasama Malaysia-Jordan

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) — Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) Putera Ali Al Hussein bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama di Amman, semalam.

Pada pertemuan itu, Hamidin berkata Putera Ali yang juga Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Barat (WAFF) dimaklumkan mengenai pembangunan di Malaysia terutama bola sepak wanita dan akar umbi yang perlu diberi lebih penekanan dengan beberapa pendekatan strategik.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga berkongsi pandangan dan potensi kerjasama dua hala dalam sukan itu bukan saja bersama Jordan malah bersama negara Asia Barat di bawah WAFF.

“Terima kasih kepada Putera Ali yang meluangkan masa beliau untuk membincangkan kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Jordan.

“Kita juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan dengan Jordan merangkumi semua peringkat umur, termasuk skuad kebangsaan wanita, futsal dan bola sepak pantai di bawah kalendar FIFA nanti,” kata Hamidin dalam kenyataan FAM hari ini.Hamidin juga optimis perbincangan itu akan memanfaatkan kedua-dua negara dalam jangka masa panjang.

Hadir sama pada pertemuan itu ialah Setiausaha Agung FAM Noor Azman Haji Rahman, Setiausaha Agung JFA Samar Nassar dan Setiausaha Agung WAFF Khalil Al-Salem.

Menurut kenyataan itu, pada dasarnya kedua-dua pemimpin badan induk itu menyambut baik cadangan hubungan Malaysia-Jordan dan Asia Barat ditingkatkan ke tahap yang lebih komprehensif.

“Ketua jurulatih skuad Malayan Tigress Soleen Al-Zou’bi yang berasal dari Jordan juga dilihat mampu mengukuhkan lagi hubungan dua hala ini,” menurut kenyataan itu.

Soleen sebelum ini adalah Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal di JFA dan melapor diri di Wisma FAM pada 1 Dis tahun lepas.

— BERNAMA

Sumber: Bernama