Hampir 100,000 peluang pekerjaan masih dibuka menerusi MYFutureJobs – Ramanan

LocalBusiness & Finance
22 Jul 2026 • 3:24 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Sebanyak 96,700 peluang pekerjaan masih aktif untuk dimohon rakyat Malaysia menerusi platform MYFutureJobs setakat 30 Jun 2026, sekali gus mencerminkan peluang pekerjaan yang terus tersedia merentasi pelbagai sektor dan tahap kemahiran.

Image from: Hampir 100,000 peluang pekerjaan masih dibuka menerusi MYFutureJobs – Ramanan

Foto: Janaan AI

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan Ramakrishnan berkata, sehingga tarikh berkenaan, sebanyak 668,321 kekosongan jawatan telah diiklankan menerusi platform MYFutureJobs yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kekal komited memastikan rakyat mempunyai akses kepada peluang pekerjaan berkualiti menerusi ekosistem pasaran buruh yang lebih responsif, inklusif dan berdaya tahan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Sehingga 30 Jun 2026, sebanyak 668,321 kekosongan jawatan telah diiklankan menerusi MYFutureJobs kendalian PERKESO, dengan 96,700 peluang pekerjaan masih aktif untuk dimohon oleh rakyat Malaysia.
“Statistik ini membuktikan bahawa peluang pekerjaan terus tersedia merentasi pelbagai sektor dan tahap kemahiran,” katanya dalam satu kenyataan media.
Image from: Hampir 100,000 peluang pekerjaan masih dibuka menerusi MYFutureJobs – Ramanan

Foto arkib: Bernama

Beliau berkata, kerajaan melalui PERKESO dan platform MYFutureJobs turut menyediakan pelbagai sokongan kepada pencari kerja, termasuk padanan pekerjaan, kaunseling kerjaya, semakan resume, persediaan temu duga serta program latihan semula dan peningkatan kemahiran.

Jelasnya, inisiatif itu bertujuan membantu pencari kerja memperoleh pekerjaan dengan lebih cepat dan memenuhi keperluan semasa industri.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, daripada 96,700 peluang pekerjaan yang masih aktif, hampir 40 peratus terdiri daripada jawatan berkemahiran tinggi, manakala lebih 30 peratus melibatkan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata, hampir 20 peratus daripada jawatan berkenaan turut menawarkan gaji melebihi RM5,000 sebulan, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi industri terhadap bakat tempatan.

“Selain platform digital, Kerajaan MADANI melalui PERKESO turut memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan menerusi penganjuran Karnival Kerjaya MYFutureJobs di seluruh negara sebagai antara inisiatif memperkasakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Sepanjang Januari hingga Mei 2026, sebanyak 2,989 program telah dianjurkan melibatkan 86,594 pencari kerja, dengan 14,029 individu berjaya mendapat pekerjaan dan 15,809 lagi dipanggil ke peringkat temu duga seterusnya,” ujarnya.
Image from: Hampir 100,000 peluang pekerjaan masih dibuka menerusi MYFutureJobs – Ramanan

Foto: Janaan AI

Tambahnya, kerajaan melalui PERKESO juga menyediakan Bantuan Mobiliti sehingga RM1,000 bagi membantu pencari kerja yang perlu berpindah ke lokasi baharu untuk memulakan pekerjaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, KESUMA akan terus memperkukuh kerjasama dengan majikan serta pemain industri bagi memastikan lebih ramai rakyat memperoleh pekerjaan berkualiti, meningkatkan kemahiran dan membina kerjaya yang mampan.

“Saya menggalakkan semua rakyat yang sedang mencari pekerjaan atau ingin bertukar kerjaya untuk memanfaatkan platform MYFutureJobs sebagai pintu masuk kepada peluang yang lebih baik,” tambahnya lagi.
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved