
KUALA LUMPUR - Seramai 16,951 remaja perempuan berusia 19 tahun dan ke bawah yang belum berkahwin ldirekodkan hamil antara 2020 hingga 2024, satu angka yang disifatkan kerajaan sebagai sangat membimbangkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, secara keseluruhan terdapat 41,842 kehamilan dalam kalangan remaja pada tempoh sama, termasuk kes melibatkan remaja yang sudah berkahwin.
Jelasnya di Parlimen hari ini, data tersebut diperoleh daripada rekod di fasiliti kesihatan kerajaan berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan (KKM).
“Daripada jumlah itu, separuh melibatkan remaja Melayu, diikuti Iban (11 peratus), Orang Asli Semenanjung (sembilan peratus), Cina (lima peratus), India (tiga peratus) dan selebihnya daripada etnik lain,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Nancy berkata, kementeriannya telah memperkukuh pendidikan, kaunseling serta inisiatif berasaskan komuniti bagi menangani isu tersebut.
“Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh KPWKM termasuk memperkukuh pendidikan kesihatan reproduktif, inisiatif kaunseling dan sokongan komuniti,” katanya.
Antara inisiatif utama ialah Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan reproduktif serta membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan.
“Di bawah pelan tindakan ini, pembangunan kemahiran berkaitan kesihatan reproduktif positif dan selamat diberi penekanan, sama ada melalui pendidikan formal di sekolah atau pendidikan tidak formal di luar sekolah,” jelas beliau.
Nancy berkata demikian sebagai menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN–Parit Buntar) mengenai pecahan kehamilan remaja luar nikah mengikut kaum serta langkah menangani isu itu.
Dalam sesi tambahan, Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS–Sri Aman) bertanya sama ada kementerian akan mempertimbangkan cadangan Ketua Polis Kelantan supaya remaja perempuan yang terlibat dalam hubungan seks suka sama suka turut dikenakan tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, Nancy menolak cadangan tersebut, sambil menegaskan kanak-kanak yang terlibat perlu dilindungi dan dipulihkan, bukan dihukum.
Beliau juga mengingatkan bahawa undang-undang sedia ada menetapkan mana-mana lelaki yang melakukan hubungan seksual dengan kanak-kanak perempuan bawah 16 tahun dianggap melakukan rogol statutori, walaupun dengan persetujuan.
“Isu ini perlu dilihat secara holistik, bukan hanya melalui tindakan undang-undang. Secara peribadi, saya percaya kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual suka sama suka mesti dilindungi, dibimbing dan dipulihkan, bukan dihukum sama ada lelaki atau perempuan,” katanya.
Menurut Nancy lagi, tahap pemikiran dan kematangan remaja juga harus diambil kira kerana mereka lazimnya tidak dapat menilai akibat jangka panjang daripada perbuatan mereka.
“Kanak-kanak perlu diberi peluang dan ruang untuk belajar daripada kesilapan, sembuh dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma yang berpanjangan,” katanya. - Getaran, 20 November 2025


