Hampir 2,000 mangsa banjir di 22 PPS

12 Nov 2022 • 6:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan kawasan perumahan yang dinaiki air akibat hujan lebat berterusan semalam ketika tinjauan di Kampung Labuh Banting. Tasek Gelugor hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Seramai 1,817 mangsa banjir daripada 448 ketua isi rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang, Sabtu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataannya memaklumkan kesemua mangsa yang terjejas adalah dari Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Melaka.

Agensi itu berkata, banjir diramal boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan dan amaran dikeluarkan bagi membolehkan penduduk lebih berwaspada dan bersiap-siaga.

"Sehingga jam 3 petang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Kemungkinan Banjir Kilat dalam tempoh 12 jam akan datang," kata Nadma.

Ia melibatkan Batu Pahat, Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Dungun, Kota Setar, Kuala Muda, Yan, Papar, Tuaran, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sepang dan Sarawak.

Di Selangor, JPS telah menghantar pam ke kawasan Meru, Klang bagi membantu mempercepatkan pengaliran air ke sungai.

Di Kelantan pula, jajahan Pasir Mas dan Tanah Merah dilaporkan terjejas akibat banjir setakat jam 6 petang.

Sementara, air di Stesen Sungai Siam di Kampung Sungai Siam, Johor diramal melepasi aras bahaya 0.02 meter pada jam 6 petang.

Penduduk di kawasan sekitar telah diarahkan bersiap-siaga dan patuh arahan jika diarah untuk berpindah.

Sehingga jam 6 petang, sebanyak tiga PPS diaktifkan di Segamat.

"Penduduk di kawasan banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa dan segera berpindah sekiranya diarahkan," katanya.