Hampir 2 juta hektar kawasan hutan Indonesia musnah terbakar

WorldEnvironment
20 Oct 2026 • 10:32 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hampir 2 juta hektar kawasan hutan Indonesia musnah terbakar

JAKARTA – Kebakaran hutan dan lahan di Indonesia yang menyebabkan krisis jerebu serantau telah memusnahkan lebih daripada 1.9 juta hektar dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2026, menurut sebuah badan pemantau yang menganalisis data satelit semalam.

Laporan tersebut dikeluarkan ketika pegawai Indonesia menyatakan bahawa mereka telah menerima bantuan daripada negara jiran, Malaysia dan Singapura, untuk menentang kebakaran tersebut.

“Kita sudah memberi maklum balas terhadap cadangan bantuan mereka (Malaysia) akan membantu dengan tiga pesawat dan 52 anggota,” kata Menteri Penyelaras Bidang Politik dan Keamanan, Dudung Abdurachman, kepada pemberita di Jakarta.

Malaysia telah berulang kali menawarkan bantuan bagi menangani kebakaran yang telah menyebabkan tahap pencemaran udara melonjak di ibu negerinya sendiri serta ibu negara lain di rantau ini.

Dudung berkata Singapura juga akan menyediakan bantuan, tanpa memberikan butiran terperinci.

Angka baharu daripada laman pemantauan pembasmian hutan Nusantara Atlas menunjukkan kawasan bersaiz hampir 12 kali ganda saiz bandar London telah terbakar dari Januari hingga akhir September, sebahagian besarnya berpunca daripada kemarau yang bermula sejak Jun, yang memburuk akibat kitaran El Nino yang kuat.

Kerajaan Indonesia belum menyediakan angka rasmi sejak mengumumkan bahawa 202,000 hektar telah musnah terbakar pada akhir Julai.

Pengasas Nusantara Atlas, David Gaveau, berkata skala sebenar kebakaran berkemungkinan lebih tinggi daripada 1,916,588 hektar yang dikesan oleh organisasinya.

Pengiraan tersebut terjejas disebabkan oleh jerebu tebal daripada kebakaran yang kadangkala menghalang imej satelit, di samping faktor-faktor lain.

Meskipun begitu, data Nusantara Atlas menunjukkan kawasan yang terbakar adalah 38 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019, yang merupakan satu lagi tahun bencana bagi kebakaran hutan. – AFP

The post Hampir 2 juta hektar kawasan hutan Indonesia musnah terbakar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved