Hampir 2 juta saman jalan raya tertunggak, JPJ gesa bayar sebelum 31 Disember

LocalPolitics
30 Sep 2025 • 4:29 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menyenarai hitam hampir dua juta pengguna jalan raya sekiranya gagal menjelaskan saman tertunggak sebelum 31 Disember ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata angka itu merangkumi 1,458,577 saman kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), 296,684 notis 114 (temu siasat berkaitan ubah suai kenderaan) dan 164,598 notis 115 (pemeriksaan kenderaan), menjadikan keseluruhan 1,919,859 notis saman tertunggak.

“Sepanjang tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 855,300 notis saman telah diselesaikan menerusi tawaran kadar istimewa atau flat rate yang diperkenalkan kerajaan bermula 1 Jan lepas. Namun, angka saman tertunggak masih tinggi dan menunjukkan tahap kesedaran pengguna jalan raya masih rendah,” katanya.

Muhammad Kifli berkata pengguna jalan raya yang menjelaskan saman tertunggak sepanjang tempoh tawaran kadar istimewa hingga 31 Disember, hanya dikenakan bayaran RM150 dan dikecualikan daripada Mata Kejara (Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya).

“Selepas tamat tempoh tersebut, kadar kompaun akan kembali kepada RM300 serta dikenakan Mata Kejara, manakala pesalah trafik juga akan disenarai hitam,” katanya kepada media selepas Ops Khas Gempur Perdagangan di Kota Bharu, malam tadi.

Beliau berkata saman AwAS adalah kategori paling banyak direkodkan, menamakan Terowong Menora, Perak sebagai lokasi tertinggi mencatat purata 3,000 saman sehari pada musim cuti persekolahan dan perayaan.

“Negeri paling tinggi jumlah saman ialah Selangor, Perak dan Johor, iaitu antara negeri yang mempunyai paling banyak kamera AwAS. Setakat ini, terdapat 49 kamera AwAS yang beroperasi di seluruh negara bagi penguatkuasaan had laju dan lampu isyarat,” katanya lagi.

Tambahnya, terdapat saman yang masih tertunggak sejak lebih 10 tahun, khususnya melibatkan notis 114 dan 115.

Justeru itu, beliau menyeru semua pengguna jalan raya untuk segera melangsaikan saman tertunggak bagi mengelakkan tindakan lebih tegas selepas tamat tempoh tawaran.

“Masih ada lebih kurang tiga bulan lagi. Ambil peluang ini untuk menyelesaikan saman dengan kadar istimewa dan elak daripada dikenakan tindakan lebih berat selepas ini,” katanya. - 30 September, 2025

The post Hampir 2 juta saman jalan raya tertunggak, JPJ gesa bayar sebelum 31 Disember appeared first on Scoop.