
Hampir tiga dekad selepas bintang rap Tupac Shakur maut ditembak di Las Vegas, seorang bekas ketua kumpulan jalanan didakwa merancang pembunuhan itu bakal berdepan perbicaraan yang dijangka berlangsung sehingga enam minggu.
Duane “Keffe D” Davis, 63, didakwa membunuh menggunakan senjata maut di Clark County, Nevada. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Menurut laporan Reuters pada Isnin, Davis didakwa mengetuai sekumpulan lelaki dalam rancangan membunuh Shakur, antara tokoh paling berjaya dari segi komersial dan paling berpengaruh dalam sejarah hip-hop.
Davis dikatakan merancang serangan tersebut susulan satu pergelutan yang membabitkan Shakur dan anak saudaranya di kasino MGM Grand pada 7 September 1996.
Shakur, yang ketika itu berusia 25 tahun, ditembak sebanyak empat kali ketika menaiki sebuah kereta dipandu pengasas bersama Death Row Records, Marion “Suge” Knight, berhampiran Las Vegas Strip.
Penyanyi rap meninggal dunia di hospital enam hari kemudian manakala Knight pula mengalami kecederaan ringan selepas serpihan peluru menggores kepalanya.
Pembunuhan Shakur menjadi antara tragedi paling besar dalam era rap “gangsta”, selain mengukuhkan persepsi mengenai keganasan dalam budaya hip-hop, dan menyemarakkan lagi permusuhan sengit antara komuniti rap Pantai Timur dan Pantai Barat Amerika Syarikat yang mendominasi industri ketika itu.
Polis menahan Davis pada 2023 selepas menyatakan bahawa dia telah lama menjadi suspek dalam siasatan kes berkenaan.
Namun, pihak berkuasa sebelum itu tidak mempunyai bukti yang mencukupi dan boleh diterima di mahkamah untuk mendakwanya.
Siasatan kembali rancak selepas Davis membuat beberapa kenyataan secara terbuka yang dilihat mengaitkan dirinya dengan kes pembunuhan tersebut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Carli Kierny dijangka berlangsung sehingga enam minggu di sebuah mahkamah di pusat bandar Las Vegas dan pemilihan juri telah selesai dilakukan minggu lalu.
Knight, yang berada bersama Shakur ketika kejadian dan kini menjalani hukuman penjara 28 tahun bagi sabitan berasingan atas kesalahan membunuh tanpa niat, berkemungkinan dipanggil sebagai saksi.
Pendakwa raya mendakwa Davis merupakan individu yang membuat keputusan utama atau “shot caller” dalam mengatur serangan balas selepas anak saudaranya dipukul oleh Shakur dan anggota rombongan rapper itu di MGM Grand. - Getaran, 17 Ogos 2026
