Hampir dua pertiga pekerja Malaysia bergaji bulanan RM2,223 dan ke bawah pada 2025 – DOSM

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hampir dua pertiga pekerja Malaysia bergaji bulanan RM2,223 dan ke bawah pada 2025 – DOSM Image from: Hampir dua pertiga pekerja Malaysia bergaji bulanan RM2,223 dan ke bawah pada 2025 – DOSM amree22/09/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept — Hampir dua pertiga rakyat Malaysia yang berada dalam pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah menerima gaji median bulanan masing-masing RM2,223 dan RM1,758 pada 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Golongan pekerja separa mahir membentuk kumpulan terbesar iaitu 55.6% daripada keseluruhan penerima upah, manakala pekerja berkemahiran rendah merangkumi 7.8%. Sebaliknya, pekerja berkemahiran tinggi menyumbang 36.6% dengan gaji median RM5,057 sebulan.

 

Angka tersebut turut menunjukkan situasi jurang pendapatan secara ketara mengikut tahap kemahiran pekerja, apabila gaji median mereka yang berkemahiran tinggi adalah hampir tiga kali ganda berbanding pekerja dengan kemahiran rendah.

 

 

 

 

 

 

"Dari segi pertumbuhan gaji, pekerja berkemahiran rendah mencatat peningkatan paling kecil, dengan gaji median naik 6.3% pada 2025, berbanding 8.4% bagi pekerja separa mahir dan 8.1% bagi pekerja berkemahiran tinggi," kata kenyataan DOSM.

 

Secara keseluruhan ujar agensi berkenaan, gaji median bulanan rakyat Malaysia meningkat kira-kira 5.3% kepada sebanyak RM2,940 sepanjang tahun lalu, manakala gaji purata pula didapati bertambah sekitar 4.1% kepada RM3,803.

 

Pertumbuhan gaji turut menunjukkan perbezaan ketara mengikut lokasi. Gaji median di kawasan luar bandar melonjak hampir 20% kepada RM2,035 daripada RM1,698 pada 2024, mencatatkan pertumbuhan tahunan tertinggi sejak sekurang-kurangnya 2020.

 

DOSM-gaji 2025

 

Sementara itu tambah DOSM, gaji median pekerja di kawasan bandar pula meningkat kira-kira 6% kepada RM3,022, sekali gus mengekalkan perbezaan pendapatan antara pekerja bandar dan luar bandar.

 

"Mengikut kelayakan akademik, lepasan diploma merekodkan pertumbuhan 10.7% gaji median kepada RM3,779, lebih pantas berbanding peningkatan dalam kalangan pemegang ijazah. Namun, pemegang ijazah masih meraih gaji median lebih tinggi secara keseluruhan," katanya.

 

Dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi, pengurus kekal sebagai kumpulan dengan gaji median tertinggi apabila meningkat 3.3% kepada RM6,186 sebulan pada 2025, berbanding RM5,990 pada tahun sebelumnya. Golongan profesional pula mencatat gaji median RM6,124.

 

DOSM mengklasifikasikan pekerjaan berkemahiran tinggi merangkumi pengurus, profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu. Pekerjaan separa mahir pula termasuk perkeranian, perkhidmatan dan jualan, pertukangan, pertanian serta operator mesin.

 

 

 

 

 

 

Pekerjaan berkemahiran rendah didominasi pekerjaan asas. Menurut agensi tersebut, peningkatan produktiviti, pembangunan kemahiran dan pewujudan pekerjaan bernilai tinggi penting untuk memastikan pertumbuhan gaji yang mampan.

 

"Sebagai perbandingan, Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2018 menganggarkan gaji sara hidup di Kuala Lumpur bagi seorang dewasa bujang ialah RM2,700 sebulan, RM4,500 bagi pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua anak," katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved