Hampir maut di laut ubah persepsi Farris tentang perlindungan 24 jam Perkeso

LocalPersonal Finance
7 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hampir maut di laut ubah persepsi Farris tentang perlindungan 24 jam Perkeso Image from: Hampir maut di laut ubah persepsi Farris tentang perlindungan 24 jam Perkeso liza07/09/2026 - 09:00 Muhammad Farris ketika menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu FOKUS BERITA Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

PENGALAMAN ngeri seorang peserta mencandat sotong yang hampir maut disebabkan tragedi bot karam di perairan Terengganu pada 3 Julai 2026 mengubah persepsinya terhadap skim Lindung 24 Jam yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

Muhammad Farris Zakwan Mohd Ibrahim, 33 mengakui pernah berasa ragu-ragu dengan skim perlindungan itu namun tetap meneruskan caruman setelah berfikir sedalam-dalamnya mengenai manfaat yang bakal diterima oleh mangsa dan waris mereka.

 

Beliau yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Suruhanjaya Syarikat Malaysia itu menyifatkan skim Lindung 24 Jam bukan hanya perlindungan biasa, tetapi ia adalah caruman yang wajib diambil sesiapa sahaja selagi masih bergelar pekerja.

 

 

 

 

 

Anak keempat dari enam beradik itu berkata pengalaman menyertai aktiviti mencandat sotong sepatutnya berakhir dengan kegembiraan namun sebaliknya dia diduga dengan musibah yang hampir meragut nyawanya.

 

“Saya bersama 9 rakan sepejabat pergi mencandat sotong untuk mengisi masa terluang hujung minggu dan perjalanan menaiki bot lancar sehingga ke lokasi mencandat yang pertama.

 

“Namun, tak lama kemudian langit bertukar gelap dan rebut melanda menyebabkan bot kami mula dipukul ombak dan terbalik selepas dibadai ombak kedua.

 

“Suasana jadi huru hara dan saya hanya fikirkan kematian ketika itu dan hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah dengan bayangan wajah ibu, Wan Nalias Wan Dagang, 60 serta keluarga tersayang yang bakal ditinggalkan,” katanya ketika ditemui DagangNews di kediaman keluarganya di Marang, Terengganu baru-baru ini.

 

t
Muhammad Farris menerima 14 jahitan di lengan kanannya, selain empat jahitan pada ibu jari, tiga jahitan pada jari telunjuk tangan kiri dan tiga jahitan pada bahu kiri akibat kecederaan yang dialami.

 

40 Minit Bergelut Maut

Muhammad Farris berkata dia terperangkap di dalam ruang tertertutup bot tersebut dan bergelut menyelamatkan diri sebelum seorang rakannya datang untuk membantu mengeluarkannya ke permukaan air.

 

“Air di kawasan sekitar bot bertukar merah dengan warna darah dan kami mengumpul sisa kekuatan yang masih ada untuk membuat bulatan sementara menunggu bantuan tiba.

 

“Hampir 40 minit terapung-apung di permukaan laut dalam keadaan gelap gelita, hujan lebat, sejuk, sakit dan ketakutan, akhirnya kami semua diselamatkan sebuah bot yang berdekatan,” katanya yang masih trauma dengan tragedi itu.

 

Kecederaan serius yang dialaminya menyebabkan arteri pergelangan tangan terputus manakala saluran darah pada ibu jari dan jari manis tangan kanan turut terluka selepas terkena serpihan kaca.

 

Tangan kanannya menerima 14 jahitan, selain empat jahitan pada ibu jari, tiga jahitan pada jari telunjuk tangan kiri dan tiga jahitan pada bahu kiri.

 

Muhammaf Faris terpaksa menjalani rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selama tiga hari sebelum meneruskan proses pemulihan dan rawatan susulan sehingga kini.

 

Setakat ini, jumlah cuti sakit yang diberi ialah selama 35 hari dan nasibnya sangat baik apabila dikunjungi pegawai Perkeso Terengganu yang membawa berita gembira untuk menyampaikan bantuan manfaat Skim Lindung 24 Jam ketika masih terlantar dalam wad di HSNZ.

 

t
Pegawai Sinergi PERKESO Negeri Terengganu, Abdul Hafiz Zaid @ Zahid (kanan) mengunjungi Muhammad Farris di kediamannya untuk menyampaikan bantuan Skim Lindung 24 Jam

 

Tujuh Minggu Selepas Detik Ngeri

Selepas kira-kira tujuh minggu tragedi itu berlalu, keadaan tangannya mula beransur pulih secara berperingkat.

 

Muhammad Farris juga sudah menjalani proses fisioterapi di HSNZ yang ditanggung oleh Perkeso bagi membantu memulihkan fungsi anggota yang terjejas.

 

Beliau yang telah 12 tahun bekerja sebagai pembantu tadbir di SSM berkata kecederaan itu bukan sekadar mengganggu rutin harian, malah turut menjejaskan keupayaannya untuk bekerja seperti biasa.

 

Dalam tempoh berkenaan, tumpuannya bukan lagi sekadar kepada kesakitan dan rawatan, tetapi bagaimana mahu meneruskan kehidupan ketika tidak dapat bekerja untuk sementara waktu.

 

Manfaat Perlindungan Dinikmati


“Apabila kemalangan berlaku di luar waktu kerja, ramai mungkin menyangka ia tidak mempunyai kaitan dengan perlindungan pekerjaan.

 

“Namun pengalaman saya membuktikan sebaliknya. Proses pemulihan dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat bulan dan dalam keadaan tertentu boleh mencecah sehingga enam bulan.

 

“Buat masa ini, saya hanya mahu fokus kepada rawatan untuk segera sembuh dan tidak sabar hendak kembali bertugas seperti biasa,” katanya yang diberi cuti sakit hingga 15 September 2026 namun mungkin disambung berdasarkan pemantauan doktor.

 

t
Muhammad Farris mengakui masih trauma dengan insiden yang hampir meragut nyawanya ketika mencandat sotong di perairan Terengganu


Skim Lindung 24 jam

Menerusi Skim Lindung 24 Jam PERKESO, dia menerima faedah hilang upaya berjumlah kira-kira RM1,300 dengan kadar sekitar RM72 sehari.

 

Jumlah itu mungkin kelihatan hanya kecil sahaja, tetapi bagi seorang pekerja yang sedang melalui tempoh pemulihan dan tidak dapat bekerja seperti biasa, setiap bantuan mempunyai nilainya tersendiri.

 

Lebih-lebih lagi apabila Muhammad Farris sedang berdepan kecederaan, rawatan dan tempoh pemulihan yang panjang diburukkan lagi dengan trauma insiden hampir maut yang sering menghantui.

 

Bagi Muhammad Farris, pengalaman tersebut mengubah cara dia melihat soal perlindungan.

 

 

 

 

 

 

“Nasihat saya dengan hati nurani yang sangat ikhlas, tolonglah mencarum dengan skim ini kerana sangat penting untuk kita ketika ditimpa bencana.

 

“Sekarang mungkin hari saya yang memerlukannya namun siapa tahu, esok lusa atau tulat giliran anda pula,” katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved