SUNGAI PETANI – Penantian sebuah keluarga yang mencari seorang warga emas sejak Sabtu lalu berakhir dengan tragedi apabila mangsa ditemukan meninggal dunia berhampiran sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Padang, Tikam Batu di sini pada Khamis.
Mangsa, Mohd Khalid @ Halim Salleh, 84, ditemukan kira-kira jam 11.08 pagi, sekitar satu kilometer dari lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sebelum ini.
Anak mangsa, Rosmawati Mohd Khalid, 51, berkata, keluarga reda dengan pemergian Allahyarham selepas lima hari pelbagai pihak bertungkus-lumus menjalankan pencarian.
Menurutnya, bapanya yang tinggal bersendirian mempunyai masalah kesihatan termasuk penyakit jantung.
“Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari ayah sejak dia dilaporkan hilang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Fauzi Shuaib berkata, operasi SAR dimulakan pada Ahad selepas menerima laporan kehilangan mangsa.
Menurutnya, maklumat awal mendapati warga emas itu dipercayai terjatuh ke dalam tali air berhampiran rumahnya.
“Pencarian dilakukan dalam radius kira-kira tiga kilometer, namun tiada petunjuk ditemui sehingga operasi ditangguhkan sementara pada Selasa.
“Pada hari kelima, pihak kami menerima maklumat daripada orang awam sebelum mangsa ditemukan di kawasan kampung, tidak jauh dari lokasi pencarian asal,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa dipercayai tersesat dan merayau di sekitar kawasan kampung sebelum ditemukan tidak bernyawa.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Saravanan Shanmugam berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Katanya, laporan kehilangan diterima pada 2 Mei selepas mangsa tidak pulang ke rumah sejak keluar pada hari kejadian.
“Operasi pencarian dijalankan bersama pihak bomba susulan maklumat awal bahawa mangsa mungkin terjatuh ke dalam tali air,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat.


