Hamzah gesa kerajaan rangka pelan kontingensi menyeluruh tangani kenaikan harga bahan api

LocalPolitics
25 Mar 2026 • 7:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hamzah

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa kerajaan segera merangka pelan kontingensi nasional yang menyeluruh bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, kegagalan menangani isu tersebut dengan berkesan bakal mengheret Malaysia daripada krisis harga minyak kepada krisis keselamatan bekalan makanan yang lebih serius.

"Pelan Kontingensi Nasional harus dibuat segera dengan mengambil kira keadaan konflik di rantau Teluk.

"Ia harus jelas dan menyeluruh supaya semua pihak sama ada kerajaan mahu pun rakyat bersedia menghadapi segala kemungkinan di masa hadapan.

"Jangan sesekali bersikap defensif terhadap teguran atau cadangan yang diberikan. Memahami realiti sebenar di bawah sana dan sentiasa jujur dalam setiap tindakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan harga diesel di Semenanjung Malaysia naik 80 sen kepada RM4.72 seliter, berlatarkan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat.

Pada 11 Mac lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan harga diesel bersubsidi untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung masing-masing dikekalkan pada RM1.88 dan RM2.15 seliter.

Dalam pada itu Hamzah mendakwa, skim bantuan sedia ada tidak lagi mencerminkan realiti kos operasi di bendang apabila isu jentera penuai dan pembajak masih tidak disenaraikan dalam skop bantuan BUDI-Agri Madani.

Malah menurutnya, ketika negara berdepan musim kemarau, banyak kawasan sawah terjejas, pesawah terpaksa mengeluarkan kos tambahan disebabkan kenaikan harga diesel hingga ada yang menanggung kerugian.

"Subsidi RM160 sehektar bagi kerja membajak dan RM50 sehektar bagi tuaian jelas tidak lagi mencerminkan realiti kos semasa.

"Persoalan juga timbul berhubung Insentif Tunai RM600 kepada pesawah, apakah benar pesawah tidak menerima bantuan ini sejak dua musim berturut-turut," soalnya.