Hannah buat laporan polis penyebaran video, mesej tidak benar

LocalPolitics
26 Dec 2024 • 11:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR - Menteri Belia Sukan, Hannah Yeoh membuat laporan polis berhubung penyebaran video dan mesej yang menjejaskan rayuannya di mahkamah berhubung saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata, semua pihak harus menghormati proses kehakiman dan memastikan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang mahupun menjejaskan haknya di hadapan mahkamah.

“Saya menghormati proses kehakiman, namun sudah pasti saya kecewa dengan keputusan tersebut.

"Peguamcara saya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 26 Disember 2024. Saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk memohon agar rayuan ini didengar dengan kadar segera.

“Saya dinasihatkan oleh peguamcara saya bahawa belum ada alasan penghakiman bertulis penuh yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada khamis.

Jelasnya, setakat ini, hanya terdapat alasan ringkas yang disenaraikan secara bertulis melalui sistem e-review mahkamah pada 23 Disember 2024.

“Oleh itu adalah tidak wajar pada peringkat ini untuk membuat apa-apa kesimpulan tentang apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi secara keseluruhannya berserta alasan-alasannya.

“Saya difahamkan bahawa terdapat banyak mesej-mesej dan video-video WhatsApp yang bersebaran di luar sana yang telah mempolitikkan keputusan ini dan memberi gambaran bahawa saya berhasrat untuk memurtadkan orang Muslim dan/atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian. Ini tidak benar sama sekali,” tegasnya

Beliau menegaskan akan terus menghormati dan mendukung Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

“Terdapat sekatan undang-undang yang jelas terhadap penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam di Malaysia.

“Saya telah mengangkat sumpah jawatan saya serta bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Ianya adalah sumpah yang saya ambil dengan serius dan akan saya patuhi pada setiap masa,” ujarnya.

Tambah Hannah, sepertimana yang telah berlaku berkali-kali dalam kerjaya politik beliau, kepercayaan beliau sekali lagi dijadikan senjata politik oleh pelampau-pelampau agama di luar sana.

“Saya menyeru semua pihak untuk berdiri teguh membendung percubaan-percubaan ini dan untuk tidak menyebarkan mesej-mesej tersebut apabila mereka melihatnya dalam talian,” katanya.