‘Hantar anak OKU ke PPDK’

5 Feb 2023 • 1:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Ibu bapa dan penjaga di daerah ini yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) digesa menghantar anak mereka ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di sini.

Penaung PPDK Ranau, Datuk Hj Faimin Kamin berkata, ini penting bagi memberi peluang kepada perkembangan mental dan sosial kanak-kanak.

“Kami mohon ibu bapa yang mempunyai anak OKU supaya menghantar anak mereka ke pusat ini kerana di sini, kami mempunyai kakitangan pembimbing yang terlatih.

“Selain itu, ia memberi peluang dan ruang kepada kanak-kanak untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain dan juga penjaga di sini,” katanya.

Faimin berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu Cina PPDK Daerah Ranau di sini, pada Jumaat.

Beliau mengucapkan tahniah kepada PPDK Ranau atas pencapaian anugerah PPDK Paling Aktif pada tahun lalu, dan juga atas penganjuran majlis tersebut.

“Mudah-mudahan PPDK Ranau dapat mengekalkan prestasinya sebagai PPDK yang cemerlang dan dicontohi pusat lain,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta kerjasama peniaga berjaya di daerah ini untuk memberi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada PPDK Ranau.

“Kami berharap keprihatinan seperti ini dapat diteruskan seperti yang telah dilakukan oleh pemilik Liang Furniture, Chin Yun Hin yang telah memberikan sumbangan kewangan untuk penganjuran aktiviti PPDK Ranau kali ini,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi PPDK Ranau, Jabay Surugau; Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Ranau, Abd Hamid Himad selaku Penasihat.