
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri hati peminat artis K-Pop tanah air selepas berkongsi persembahan G-Dragon yang membuat pertunjukan pada makan malam Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), di Gyeongyu, Korea Selatan, malam tadi.
Beliau berkongsi klip pertunjukan berdurasi 36 saat bintang berkenaan yang sedang menyanyikan lagu "Drama" di akaun Twitter, Instagram dan Facebook rasmi beliau.
"Ramai peminat K-Pop di Malaysia mintak saya kongsikan persembahan G-Dragon malam ini. Jadi saya kongsi sedikit detik persembahan beliau supaya tak menghampakan para peminat," kata beliau dalam perkongsian di Facebook.
Sejak hantaran itu dimuat naik tujuh jam lepas di X, video tersebut telah ditonton sebanyak 520,000, dengan reaksi like sebanyak 7,815, sebanyak 3,674 repost, 1,105 quotes dan 7,815 like.
Di ruang komen, seorang peminat G-Dragon dikenali sebagai "VIP" memohon Anwar "berbisik" kepada bintang K-Pop tersebut membuat konsert reunion tahun depan di Malaysia bersama ahli kumpulannya BigBang sempena ulangtahun ke-20 kumpulan hip hop itu, selama tiga hari berturut-turut.
G-Dragon atau nama sebenarnya Kwon Ji-Yong yang juga merupakan Duta APEC , turut menyanyikan lagu "Power".
Korea Selatan kali ini dipilih sebagai tuan rumah pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC yang bermula semalam dan berakhir hari ini. - 1 November, 2025
The post Hantaran artis K-Pop G-Dragon PM ‘curi’ hati peminat appeared first on Scoop.
