IPOH - Persiapan perkahwinan dan puluhan balang tempahan kuih raya milik sebuah keluarga musnah dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Kepayang, Fair Park di sini pada Selasa.
Muhamad Azrizal Abas, 27, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada Julai depan berkata, kebakaran jam 4.49 petang itu mengakibatkan sebahagian besar barang hantaran yang dianggarkan lebih RM3,000 hangus dijilat api.
"Saya beli sikit-sikit dari awal tahun, ada yang beli hujung tahun lepas lagi. Barang hantaran macam jam, sejadah, telekung dan kasut semua hangus. Yang sempat selamatkan cuma sedikit sahaja," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.
**media[3459550]**
Lebih memilukan, Muhamad Azrizal yang bekerja sebagai Pembantu Am di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berkata, sehelai baju Melayu berwarna ungu yang baru dibeli sehari sebelum kejadian untuk dipakai pada hari raya musnah dalam kebakaran itu.
"Petang semalam baju raya sampai, saya sempat tunjuk kat mak dan ambil gambar hantar dalam WhatsApp keluarga. Sejam lepas itu, tak sempat apa, almari saya habis hangus. Satu helai pun tak tinggal," katanya.
Dalam kejadian itu, Muhamad Azrizal yang tinggal bersama ibu bapanya, Abas Mohamed Yazid, 62, dan Rosnani Meh, 57, menyedari kebakaran selepas terhidu bau hangit.
Ragu dengan keadaan itu, dia yang baru pulang dari tempat kerja meninjau ruang hadapan rumah sebelum menyedari kemunculan asap tebal dari bahagian dapur rumah jiran yang disewa sebuah keluarga.
**media[3459551]**
"Saya tak fikir apa dah, terus panggil mak keluar. Kebetulan ayah masih di tempat kerja ketika itu. Saya cuba masuk rumah jiran bimbang kalau-kalau mereka di rumah, bila buka pintu sahaja tengok api dah menjulang tinggi.
"Mujurlah mereka sekeluarga tiada di rumah. Api marak terlalu cepat ditambah pula dengan beberapa letupan. Dalam tempoh kurang sejam, semuanya habis...hangus," katanya.
Beliau menambah, buat masa ini, ibunya masih trauma dan bersedih terutama mengenang tempahan kuih raya milik pelanggan yang musnah dalam kebakaran tersebut.
Menurut Muhamad Azrizal, ibunya telah menjalankan perniagaan membuat biskut raya sejak lebih 25 tahun lalu dan menerima hampir 100 tempahan tahun ini melibatkan pelbagai jenis kuih termasuk tat nanas, biskut pasir dan almond London.
"Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, saya bersyukur kerana kami selamat tanpa sebarang kecederaan. Harta boleh dicari, yang penting nyawa mak saya sempat diselamatkan," katanya.
Kebakaran itu turut memusnahkan tujuh kenderaan iaitu dua kereta dan lima motosikal milik dua keluarga berkenaan.
