
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Apa Itu Hantavirus? Apakah Simptom & Cara Pencegahannya
Sejak kebelakangan ini, masyarakat seluruh dunia mula bimbang mengenai wabak Hantavirus yang telah menyebabkan kematian tiga penumpang sebuah kapal persiaran, MV Hondius di Lautan Atlantik.
Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini juga ada mengeluarkan amaran bahawa terdapat kemungkinan banyak lagi kes positif Hantavirus dikesan selepas ini.
Apa Itu Hantavirus?
Hantavirus ialah sekelompok virus bawaan tikus rumah atau tikus padang. Virus tersebut boleh merebak kepada manusia melalui udara yang tercemar dengan kotoran, air kencing atau air liur haiwan perosak tersebut.
Virus ini ditemui di beberapa kawasan termasuklah:
- Amerika Utara dan Selatan: Boleh sebabkan Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS)
- Eropah serta Asia: Boleh sebabkan demam berdarah dan Sindrom Buah Pinggang (HFRS) yang menyerang ginjal dan salur darah.

Apakah Gejala Hantavirus?
Gelaja-gejala awal Hantavirus adalah:
- Demam dan menggigil
- Sakit otot
- Sakit kepala
- Letih serta lesu
Gejala-gejala jangkitan Hantavirus yang lebih serius pula adalah:
- Sesak nafas (cecair terkumpul dalam paru-paru)
- Batuk
- Tekanan Darah Rendah
- Masalah buah pinggang
Untuk pengetahuan semua, HPS boleh berkembang dengan sangat cepat dan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan kadar segera.

Adakah Semua Tikus Pembawa Hantavirus?
Tidak. Bukan semua tikus membawa Hantavirus. Hantavirus biasanya dikaitkan dengan tikus (rodensia) tertentu yang telah dijangkiti.
Namun melalui pandangan kasar manusia, adalah sukar untuk menentukan sama ada seekor tikus sudah dijangkiti virus atau belum.
Dari Mana Datangnya Nama Hantavirus?
Menurut jurnal perubatan The Lancet, nama Hantavirus dinamakan bersempena Sungai Hantan di Korea Selatan, di mana virus itu pertama kali dikenal pasti pada sekitar 1970-an ketika berlakunya Perang Korea.
Pada waktu itu, ribuan tentera dilaporkan dijangkiti Hantavirus kerana terdedah dengan kawasan kotor dan sarang tikus.
Kenapa Hantavirus Kini Menjadi Perhatian Global?
Pada 2 Mei 2026, WHO dimaklumkan bahawa terdapat kluster penyakit pernafasan dalam kalangan penumpang kapal MV Hondius yang berlepas pada 1 April 2026 dari Argentina ke Cape Verde merentasi Lautan Atlantik.
Kapal tersebut membawa kira-kira 150 penumpang dan kru dari 23 negara. Gejala pernafasan itu dikesan dalam tempoh yang hampir sama.
Dalam laporan awal WHO pada 4 Mei 2026, terdapat tujuh kes, termasuk dua kes disahkan makmal, lima kes disyaki dan tiga kematian iaitu dua (2) warga Belanda dan satu (1) Jerman.
Dalam kemaskini WHO pada 7 Mei 2026, jumlah kes yang disahkan meningkat kepada lapan kes, dengan lima daripada lapan kes disahkan sebagai Hantavirus.
Kes-kes kematian melibatkan virus strain Andes (ANDV), satu-satunya Hantavirus yang diketahui boleh merebak antara manusia dalam keadaan tertentu.
Perkembangan Terkini Penumpang MV Hondius Yang Terkandas
Dalam perkembangan terbaharu, Menteri Kesihatan Sepanyol, Monica Garcia memaklumkan bahawa seramai 94 penumpang dan anak kapal persiaran MV Hondius yang terkandas di Kepulauan Canary akibat wabak Hantavirus selamat dipindahkan semalam (10 Mei).
Sebuah pesawat dari Belanda dan sebuah lagi dari Australia pula dijadual untuk membawa keluar masing-masing enam dan 18 lagi individu yang terjejas.
Bagaimana Cara Hantavirus Merebak?
Manusia boleh dijangkiti Hantavirus apabila terhidu zarah virus yang tersebar melalui udara iaitu daripada:
- Kotoran, air kencing, atau air liur tikus yang kering
- Debu yang terdedah kepada kepada sarang atau kotoran haiwan
- Aktiviti pembersihan kawasan tercemar dengan kotoran tikus
- Sentuhan terus dengan tikus atau sarangnya
Adakah Hantavirus Boleh Tersebar Antara Manusia Ke Manusia?
Secara amnya, Hantavirus tidak mudah berjangkit antara manusia.
Bagaimanapun, bagi virus strain Andes, penularan sesama manusia boleh berlaku melalui hubungan rapat dan berpanjangan sebagai contoh antara ahli keluarga atau penjaga pesakit.
Apa Langkah Dilakukan KKM Untuk Cegah Wabak Hantavirus Di Malaysia?
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan pengawasan dan kawalan sempadan untuk mengekang penularan wabak ini.
KKM menegaskan bahawa tiada kes Hantavirus dilaporkan di Malaysia setakat 8 Mei 2026.
Bagi menangani ancaman kemasukan jangkitan virus tersebut, KKM sedang melakukan langkah-langkah seperti di bawah:
- Pemantauan situasi antarabangsa secara berterusan melalui WHO, Internation Health Regulations (IHR) National Focal Point dan rangkaian amaran kesihatan global.
- Pemeriksaan dan pemantauan sanitasi kapal serta pengesanan infestasi tikus di pelabuhan antarabangsa.
- Pengukuhan pemantauan di semua Pintu Masuk Antarabangsa.
- Pengukuhan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan bagi pengesanan awal, notifikasi, dan pengurusan kes sekiranya terdapat pesakit disyaki.
- Pengukuhan kapasiti makmal bagi menjalankan ujian pengesahan strain baru termasuk Andes Virus.
- Peningkatan aktiviti survelan penyakit berjangkit dan Event-Based Surveillance (EBS).
- Kerjasama rentas agensi termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan pihak berkuasa tempatan.
KKM juga menegaskan bahawa risiko jangkitan Hantavirus kepada orang awam di Malaysia buat masa ini adalah rendah.
Bagaimana Nak Cegah Jangkitan Hantavirus?
Cara mencegah jangkitan Hantavirus adalah seperti di bawah:
- Elakkan sentuhan dengan tikus dan kekotorannya.
- Gunakan perangkap tikus atau hubungi pihak kawalan makhluk perosak (pest control).
- Tetap celah dan lubang di rumah bagi mencegah tikus masuk.
- Semburan disinfektan pada kotoran tikus. Biarkannya selama 5-10 minit.
- Pastikan kawasan tertutup yang mahu dibersihkan terdedah kepada pengudaraan selama beberapa minit sebelum akiviti pembersihan dilakukan.
- Gunakan sarung tangan dan pelitup muka semasa membersihkan kawasan terkontaminasi.
Diagnos & Rawatan Bagi Jangkitan Hantavirus
Menurut KKM, diagnos jangkitan tersebut dilakukan melalui ujian darah.
Namun buat setakat ini, tiada ubat antivirus (vaksin) khusus bagi wabak terbabit. Rawatan yang akan diberikan kepada pesakit adalah sokongan perubatan intensif, termasuklah bantuan pernafasan dan rawatan rapi.
Untuk info, kadar kematian akibat jangkitan HPS adalah sekitar 30-40%.
Oleh disebabkan itu, pengesanan awal adalah penting bagi meningkatkan peluang untuk kembali pulih.
Bila Perlu Dapatkan Rawatan?
Dapatkan rawatan segera sekiranya ada sejarah terdedah kepada kawasan banyak tikus, kawasan endemik, atau kontak rapat kes positif.
Selain itu, dapatkan juga rawatan jika mengalami demam, sakit badan, gejala gastrousus atau sesak nafas.
Cara Membersihkan Kawasan Tercemar
Berikut adalah cara-cara membersihkan kawasan tercemar dengan selamat:
- Sembur larutan disinfektan.
- Biarkan selama 5-10 minit agar virus mati.
- Bersihkan menggunakan tisu pakai buang.
- Masukkan semua bahan pembersihan ke dalam plastik sampah kemudian diikat rapi.
- Cuci tangan dengan sabun dan air yang mengalir.
