Hanya 0.98 mata diraih Harimau Malaya di China

LocalFootball
20 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hanya 0.98 mata diraih Harimau Malaya di China

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya pulang dari Guangdong, China dengan tambahan bersih hanya 0.98 mata dalam kemas kini ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus menyaksikan kedudukan skuad negara kekal di tangga ke-133 dunia.

Biarpun berjaya mengutip mata selepas mengharungi dua aksi persahabatan Tier 1, pulangan itu masih jauh daripada peluang 14.33 mata yang ditawarkan menerusi dua perlawanan berkenaan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe sebelum itu kehilangan 3.69 mata selepas tewas 0-2 kepada China, namun kemenangan 2-1 ke atas Yaman membolehkan Malaysia mengutip semula 4.67 mata.

Hasilnya, Harimau Malaya kini mengumpul keseluruhan 1103.07 mata berbanding 1102.09 mata sebelum ini, sekali gus mengelak daripada tergelincir dalam kedudukan ranking dunia.

Dua perlawanan yang berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre itu pada awalnya membuka ruang buat Malaysia mengutip mata lebih besar bagi memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.

Namun, kemenangan ke atas Yaman yang berada di ranking ke-148 dunia dan sudah layak ke Piala Asia 2027 itu menjadi satu-satunya pulangan positif skuad negara, yang kini berada di kedudukan ke-23 Asia.

Cabaran lebih besar menanti Harimau Malaya untuk menembusi kelompok 120 terbaik dunia, apatah lagi memburu kelompok 100 teratas yang kini dihuni Guinea-Bissau dengan 1159.01 mata.

Jurang 55.94 mata dengan pasukan dari Afrika Barat itu menggambarkan betapa skuad negara perlu lebih konsisten mengutip keputusan positif dalam setiap aksi antarabangsa bagi memperbaiki kedudukan.

Selepas menutup tirai kempen antarabangsa tahun ini, Harimau Malaya akan berehat kira-kira empat bulan sebelum kembali beraksi pada jendela perlawanan antarabangsa dari 22 hingga 30 Mac tahun depan.

KAPSYEN

SKUAD Harimau Malaya hanya berjaya mengutip 0.98 mata daripada 14.33 mata yang ditawarkan menerusi dua perlawanan berkenaan. – IHSAN MALAYSIA NT

 

The post Hanya 0.98 mata diraih Harimau Malaya di China appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved