sarah21/10/2026 - 16:51 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt - Hanya seorang daripada lima pengguna Malaysia memenuhi kriteria pembeli bijak dalam talian, dengan perbezaan corak perbelanjaan antara kumpulan pengguna dianggarkan mewakili nilai AS$900 juta (RM3.8 bilion) setahun dalam pasaran e-dagang negara.
Kajian terbaharu yang dijalankan Cube Asia bagi pihak Lazada mendapati hanya 20% pembeli dalam talian di Malaysia tergolong sebagai 'Savvy Shoppers' atau pembeli bijak, namun kumpulan itu menyumbang 25% daripada keseluruhan perbelanjaan e-dagang.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Kaya Qin berkata, pengguna perlu memberi perhatian bukan sahaja kepada harga dan diskaun, tetapi juga ketulenan produk, kredibiliti penjual serta perlindungan selepas pembelian bagi mengelakkan kerugian.
“Matlamat kami adalah untuk membantu rakyat Malaysia berbelanja dengan bijak, bukannya berbelanja lebih. Sama ada membeli barangan dapur, keperluan sekolah atau peralatan rumah, setiap ringgit perlu dimanfaatkan sebaik mungkin tanpa mengira tahap pendapatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Lazada turut memperkukuh kemudahan semakan penjual, perbandingan tawaran dan pengurusan pemulangan wang, dengan sistem 'Refund Agent' atau ejen bayaran balik berupaya menyelesaikan secara automatik 37.6% permohonan bayaran balik pengguna Malaysia, manakala kes lebih rumit dikendalikan oleh petugas khidmat pelanggan.
Menurut laporan '2026 eCommerce Savvy Shopper Report: Southeast Asia', kumpulan berkenaan berbelanja 36% lebih tinggi setiap bulan berbanding pengguna biasa, melebihi perbezaan purata serantau sebanyak 31%, manakala peratusan pembeli bijak Malaysia masih di bawah purata Asia Tenggara iaitu 24%.
Kajian itu mengklasifikasikan pembeli bijak berdasarkan empat kriteria utama, iaitu keupayaan menyemak maklumat dan ketulenan produk, membandingkan harga serta tawaran, menilai perlindungan pembelian dan menggunakan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi membuat keputusan.
Selain itu, 17% pengguna Malaysia dikategorikan sebagai hampir memenuhi kriteria pembeli bijak, dengan 45% daripada kumpulan tersebut hanya belum mencapai tahap yang ditetapkan bagi aspek pengesahan maklumat produk dan penjual.
Dapatan kajian turut menunjukkan 62% responden Malaysia menyemak maklumat penjual sebelum membeli, manakala 39% pembeli bijak sanggup membayar lebih untuk mendapatkan perlindungan pembelian yang lebih baik, berbanding hanya 24% pengguna biasa.
Pada masa sama, 43% pembeli bijak membelanjakan lebih separuh daripada peruntukan membeli-belah dalam talian mereka melalui bahagian kedai rasmi atau 'Mall' di platform e-dagang, berbanding 29% dalam kalangan pembeli biasa. - DagangNews.com


