hamden20/11/2026 - 12:38 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - Hanya 28% perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berjaya melaksanakan pendigitalan operasi selepas membuat pelaburan besar dalam pengembangan teknologi, menurut Kajian Xero.
Kajian platform global untuk perniagaan kecil itu turut mendapati sebanyak 77% PMKS merancang meningkatkan pelaburan dalam teknologi dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Jurang itu menunjukkan tahap kematangan digital PMKS masih belum seiring dengan kesediaan mereka untuk membelanjakan lebih banyak bagi teknologi, meskipun penggunaan penyelesaian digital semakin meluas dalam operasi perniagaan.
Dapatan itu terkandung dalam kajian terbaharu Xero bertajuk Turning Digital Progress Into Business Value: The State of Digital Maturity Among Malaysia’s MSMEs yang meninjau 1,049 perniagaan di seluruh negara.
Kajian berkenaan mendapati hampir separuh PMKS Malaysia, iaitu 46%, masih menggabungkan proses digital dan manual, manakala 26% lagi menjalankan operasi sebahagian besarnya atau sepenuhnya secara manual.
Penggunaan alat digital paling ketara dalam bidang teknologi maklumat (IT), iaitu 79%, diikuti kewangan dan perakaunan sebanyak 77%.
PMKS mengenal pasti jangkaan pelanggan (53%) serta keperluan mengurangkan kos atau meningkatkan kecekapan (52%) sebagai pemacu utama penggunaan teknologi, selain keperluan pematuhan (41%) termasuk pelaksanaan e-Invois di Malaysia.
Pengarah Urusan Xero APAC, Koren Wines berkata, PMKS di Malaysia berhadapan kenaikan kos dan perubahan jangkaan pelanggan, mendorong lebih banyak perniagaan menggunakan alat digital bagi mengurus operasi harian seperti pembayaran, penginvoisan, perbelanjaan dan hubungan pelanggan.
Menurutnya, langkah seterusnya adalah memastikan semua alat berkenaan berfungsi secara bersepadu bagi menyediakan gambaran menyeluruh tentang perniagaan dan membantu pemilik membuat keputusan lebih bermaklumat.
Maklumat kewangan masih berpecah-belah
Kajian itu turut mendedahkan banyak PMKS masih berdepan kesukaran mendapatkan gambaran jelas mengenai kedudukan kewangan perniagaan masing-masing.
Hanya 39% mempunyai gambaran langsung mengenai hasil dan keuntungan, manakala 35% mempunyai maklumat langsung berhubung aliran tunai dan kecairan.
Malah, satu daripada 10 responden menyatakan mereka tidak mempunyai gambaran langsung mengenai kewangan perniagaan.
Keadaan itu turut dikaitkan dengan penggunaan sistem yang berpecah-belah apabila hanya 17% perniagaan mempunyai maklumat kewangan yang disatukan dalam satu alat digital dan boleh diakses serta-merta.
Sebanyak 27% pula mengumpulkan maklumat daripada pelbagai platform, manakala 21% masih bergantung pada sumber manual seperti hamparan elektronik.
Hanya 21% perniagaan dapat memperoleh gambaran kewangan yang tepat dalam masa nyata.
44% PMKS sudah menggunakan AI secara aktif
Dalam pada itu, penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan PMKS Malaysia turut menunjukkan perkembangan apabila 44% responden menggunakannya secara aktif, sama ada merentasi pelbagai fungsi perniagaan atau dalam bidang tertentu.
Sebanyak 22% lagi sedang menjalankan projek rintis atau menguji penggunaan alat AI.
Bagaimanapun, kebimbangan mengenai privasi dan keselamatan menjadi halangan utama kepada penerapan teknologi itu, dinyatakan oleh 43% perniagaan.
Kekurangan kemahiran dan kepakaran turut menjadi cabaran kepada 36% responden, manakala 34% menyatakan kos sebagai antara faktor penghalang.
Wines berkata, inisiatif nasional seperti Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 mencerminkan usaha negara memperkukuh produktiviti, daya saing serta ekonomi digital.
Laporan itu menyimpulkan bahawa PMKS Malaysia mempunyai ruang untuk meneruskan kemajuan digital yang dicapai, khususnya dengan menghubungkan sistem sedia ada supaya teknologi yang digunakan dapat memberikan nilai lebih besar kepada operasi dan keputusan perniagaan. - DagangNews.com






