
OBESITI bukan lagi isu yang hanya menghantui golongan dewasa atau mereka yang kurang aktif.
Hari ini, ia menjadi antara cabaran kesihatan terbesar negara apabila semakin ramai rakyat Malaysia berdepan masalah berat badan berlebihan dan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi serta kolesterol tinggi.
Lebih membimbangkan, gaya hidup moden yang serba pantas, tabiat makan lewat malam dan kurang bersenam terus menyumbang kepada peningkatan angka tersebut.
Hakikatnya, perubahan ke arah kehidupan yang lebih sihat tidak memerlukan langkah yang terlalu besar. Kadangkala, ia boleh bermula dengan sesuatu yang semudah berjalan kaki.

Kesedaran itu menjadi antara mesej utama yang diketengahkan menerusi Program Mache Kita Bersama Komuniti 2026 yang berlangsung di Bandar Seri Mentara, Machang, Kelantan baru-baru ini.
Program bertemakan 'Satu Hari, Seribu Manfaat' itu menghimpunkan hampir 5,000 pengunjung menerusi pelbagai aktiviti berteraskan kesihatan, kesejahteraan dan semangat kebersamaan komuniti.
Merasmikan program tersebut, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah menyifatkan peningkatan kes obesiti dan penyakit tidak berjangkit sebagai satu amaran yang tidak boleh lagi dipandang ringan.
Menurut beliau, gaya hidup masyarakat hari ini banyak dipengaruhi pemakanan yang kurang seimbang serta kekurangan aktiviti fizikal sehingga menyebabkan penyakit kronik semakin meningkat.
"Di Kelantan ini, antara negeri yang tinggi pesakit diabetes dan boleh dikatakan separuh rakyat Malaysia mengalami obesiti atau hampir obesiti.
Hanya tiga daripada 10 orang rakyat Malaysia yang bersenam. Jadi kita banyak memperuntukkan wang untuk merawat penyakit tidak berjangkit.
"Penyakit ini berlaku kerana kita sendiri tidak menjaga pemakanan, makan lewat malam dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.
Beliau berkata, perubahan gaya hidup perlu dilakukan segera supaya lebih ramai rakyat tidak berdepan komplikasi kesihatan yang lebih serius pada masa hadapan.
Katanya lagi, berdasarkan saranan pihak kesihatan, setiap individu digalakkan berjalan sekitar 12,000 langkah atau kira-kira enam kilometer sehari bagi membantu mengekalkan tahap kesihatan yang baik.
"Dengan amalan ini, kita dapat mengurangkan berat badan dan mengurangkan kolesterol.
"Harapan saya, program seperti ini dapat menggalakkan kita semua menjalani kehidupan yang lebih sihat dan diteruskan di setiap kampung serta komuniti," ujarnya.
Pandangan sama turut dikongsi Yang Dipertua Majlis Daerah Machang, Mohd Zamri Ibrahim yang percaya berjalan pantas atau brisk walk merupakan aktiviti mudah yang boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Namun, menurut beliau, alasan sibuk masih menjadi penghalang utama ramai individu untuk meluangkan masa melakukan aktiviti fizikal.
"Sebenarnya brisk walk ini bergantung kepada individu. Ada yang memberi alasan sibuk atau tidak sempat.
"Namun kita sepatutnya cuba memberi komitmen dan sentiasa mencari ruang untuk melakukan aktiviti fizikal.
"Seperti saya sendiri masih bermain bola dan melakukan aktiviti fizikal lain," katanya.
Beliau berharap budaya berjalan kaki bersama keluarga terutama pada waktu malam dapat dipupuk kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah mampu menghidupkan suasana setempat dan menyokong perkembangan premis perniagaan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Al Farhain Medical Centre, Dr Afif Mohd Ridzwan menjelaskan, brisk walk sering dikaitkan dengan konsep kalori deficit, iaitu keadaan apabila jumlah kalori yang dibakar melebihi jumlah kalori yang diambil melalui makanan.
Menurut beliau, apabila keadaan itu berlaku secara konsisten, tubuh akan mula menggunakan simpanan lemak sebagai sumber tenaga sekali gus membantu proses penurunan berat badan.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa berjalan kaki semata-mata tidak memadai sekiranya corak pemakanan masih tidak terkawal.
"Ramai beranggapan berjalan laju boleh mengimbangi pengambilan makanan tinggi kalori seperti makanan bergoreng, manisan dan minuman bergula. Hakikatnya, jika kalori yang diambil masih melebihi kalori yang dibakar, seseorang masih berada dalam keadaan calorie surplus dan berat badan sukar untuk turun," jelasnya.
Sebagai gambaran, sesi brisk walk selama 30 minit hanya mampu membakar sekitar 120 hingga 250 kalori bergantung kepada berat badan dan intensiti senaman, sedangkan satu hidangan makanan bergoreng bersama minuman manis boleh mengandungi jumlah kalori yang jauh lebih tinggi.
Justeru, disiplin dalam mengawal pemakanan perlu berjalan seiring dengan aktiviti fizikal jika mahu mencapai berat badan ideal dan kesihatan yang lebih baik.
Program Mache Kita Bersama Komuniti 2026 yang dianjurkan baru-baru ini oleh Al Farhain Medical Centre dengan kerjasama Majlis Daerah Machang dan Cek Dik Agency bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti brisk walk.
Pengunjung turut menikmati pelbagai pengisian seperti persembahan dikir barat, kempen derma darah, pemeriksaan dan saringan kesihatan percuma, pameran agensi kerajaan, usahawan tempatan, aktiviti kekeluargaan serta cabutan bertuah.

Lebih daripada sekadar sebuah program komuniti, penganjuran ini membuktikan bahawa usaha membina masyarakat yang lebih sihat boleh dimulakan melalui pendekatan yang santai, menyeronokkan dan melibatkan seluruh keluarga.
Di sebalik ribuan langkah yang dihayun peserta, tersirat satu mesej penting bahawa kesihatan bukan sesuatu yang boleh dibeli apabila sudah hilang, sebaliknya perlu dipelihara sejak hari ini.
Pada masa sama, program itu turut memperlihatkan bagaimana aktiviti komuniti mampu menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan masyarakat, memperkukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan dan sektor kesihatan.
Bahkan membantu memperkenalkan potensi Bandar Seri Mentara sebagai kawasan pembangunan baharu yang semakin berkembang.

Dengan gabungan elemen kesihatan, kebajikan, hiburan rakyat dan semangat kebersamaan, program tersebut meninggalkan satu inspirasi bahawa perubahan besar sebenarnya boleh bermula dengan langkah yang kecil.
Seiring slogan 'Satu Hari, Seribu Manfaat', impaknya diharapkan mampu mendorong lebih ramai rakyat Malaysia menjadikan gaya hidup sihat sebagai amalan sepanjang hayat.
