Hanya 53% organisasi di Malaysia bersedia hadapi ancaman agen AI

Business & Finance
13 Oct 2026 • 4:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hanya 53% organisasi di Malaysia bersedia hadapi ancaman agen AI

PETALING JAYA: Hanya 53 peratus organisasi di Malaysia berkeyakinan tinggi mampu mengesan dan bertindak balas sekiranya agen kecerdasan buatan (AI) yang diguna pakai mengalami insiden pencerobohan keselamatan.

Menerusi Laporan Relentless Defense terbaharu yang dikeluarkan Cisco, keupayaan serangan dipacu AI menuntut kepantasan tindak balas, namun organisasi tempatan terus berdepan halangan akibat kelulusan yang perlahan, data terasing serta kekangan koordinasi pasukan.

Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Chee Kheong Lee berkata, ancaman siber yang diperkasakan AI telah meningkatkan risiko keselamatan organisasi secara ketara.

“Dalam era pasca-Mythos, kepantasan pertahanan siber didorong oleh kelincahan operasi dan bukannya keupayaan teknologi semata-mata.

“Organisasi yang berjaya mendepani ancaman ini adalah mereka yang menerapkan elemen keselamatan dalam operasi, mengikis sikap sekadar mematuhi syarat serta memecahkan kekangan operasi supaya keputusan tepat dapat dibuat pada masa yang sesuai,” katanya dalam kenyataan.

Laporan berkenaan turut mendedahkan sebanyak 83 peratus organisasi di Malaysia berdepan insiden siber kritikal yang menjejaskan operasi perniagaan sepanjang 12 bulan lalu, dengan hampir satu daripada tiga kes melibatkan serangan berteraskan AI.

“Dari segi skor purata keupayaan pertahanan siber global, Malaysia mencatatkan 65 daripada 100 mata, dengan hanya lapan peratus organisasi tempatan dikategorikan sebagai pertahanan terbaik (Relentless Defenders).

“Antara kekangan utama yang dikenal pasti termasuk cabaran koordinasi apabila hanya 43 peratus organisasi di Malaysia melaporkan pasukan keselamatan, rangkaian dan teknologi maklumat (IT) beroperasi secara bersepadu,” katanya. 

Selain itu, 49 peratus syarikat menghabiskan lebih banyak masa mengumpul dan menganalisis data berbanding menangani ancaman sebenar, manakala 40 peratus terlepas maklumat kritikal berikutan data yang terasing.

Bagaimanapun, bagi kelompok Relentless Defenders, sebanyak 83 peratus mengamalkan kawalan berpusat serta alatan perkongsian data secara menyeluruh, sekali gus menyaksikan 71 peratus daripada mereka berjaya mencatatkan penurunan insiden siber selepas meningkatkan pelaburan keselamatan. – UTUSAN

The post Hanya 53% organisasi di Malaysia bersedia hadapi ancaman agen AI appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved