Hanya bercinta dalam filem – Aedy Ashraf, Azira Shafinaz tepis gosip asmara

EntertainmentMovie
11 Oct 2026 • 11:05 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hanya bercinta dalam filem – Aedy Ashraf, Azira Shafinaz tepis gosip asmara

PETALING JAYA: Pelakon, Aedy Ashraf dan Azira Shafinaz masing-masing menafikan spekulasi yang mendakwa mereka sedang menjalin hubungan cinta susulan sering dilihat bersama di media sosial.

Menjelaskan perkara tersebut, Aedy, 34, berkata, mereka masing-masing hanyalah sekadar kawan baik yang sebelum ini pernah bekerjasama menjayakan dalam filem aksi, Tarung.

“Kita memang bercinta, tetapi hanya dalam filem Tarung sahaja. Dalam realiti, kami adalah kawan baik dan sangat rapat.

“Saya rasa impak lakonan Azira yang sangat berkesan dalam naskhah tersebut membuatkan penonton percaya dan berharap agar hubungan itu benar-benar wujud di alam nyata,” katanya ketika ditemui semasa pengumuman Top 5 Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35, di Menara Finas, semalam.

Senada dengan Aedy, Azira menyifatkan peminat mungkin terkeliru dan menyalah tafsir keakraban mereka memandangkan kedua-duanya sudah mengenali antara satu sama lain sebelum terlibat dalam projek tersebut.

“Orang salah faham. Apabila mereka menonton Tarung, mereka jangkakan apa yang dilihat dalam filem itu adalah realiti.

“Hakikatnya, kami sudah lama berkawan, malah sebelum penggambaran bermula lagi,” jelas anggota kumpulan De Fam itu.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya Azira turun ke Bangkok, Thailand bagi menyokong Aedy untuk pertandingan Hyrox, Azira bagaimanapun menafikan perkara itu.

“Di Bangkok, kami pergi dalam kumpulan rakan yang ramai, bukan berdua sahaja. Sebenarnya saya pergi hari ketiga dengan Mimi Lana.

“Aedy ada ramai kawan di sana, dan saya pula seorang kawan yang sentiasa memberi sokongan kepada rakan-rakan lain juga,” katanya.

Ditanya reaksi apabila melihat video disunting peminat mempamerkan kemesraan mereka berdua, Aedy tidak mengambil pusing perkara itu dan menganggap itu hanya usikan peminat.

“Itu terpulang kepada mereka sendiri sebab saya rasa mereka terkesan dengan lakonan menyebabkan mereka fikir semuanya nyata.

“Spekulasi itu juga menunjukkan kita berjaya memuaskan orang di luar sana dengan apa yang kita lakukan di Tarung,” kata Aedy.

Sementara itu, Azira menganggap lambakan video di TikTok mempamerkan hubungannya dengan Aedy sebagai usaha peminat menghargai mereka.

“Saya terharu juga sebab video itu semua menunjukkan mereka ambil kisah tentang kami. Mereka sunting video guna aplikasi. Saya terharu juga.

“Terima kasih semua yang kenenkan kami berdua cuma saya hanya mahu betulkan salah faham,” katanya.

Ditanya mengenai status hatinya ketika ini, Azira menegaskan dia tidak terdesak untuk mencari pasangan hidup dan lebih selesa untuk mengikut aturan hidup. -UTUSAN

The post Hanya bercinta dalam filem – Aedy Ashraf, Azira Shafinaz tepis gosip asmara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved