
Hanya Kerana Tak Nak Tidur, Pembantu Rumah Tergamak Gigit Bayi Sampai Lebam
Seorang pembantu rumah yang diupah untuk menjaga bayi kembar didakwa menggigit salah seorang daripada mereka kerana geram bayi tersebut enggan tidur, lapor CNA.
Wanita berusia 31 tahun itu dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada hari ini atas satu pertuduhan mendera bayi dengan sengaja menyebabkan kesakitan fizikal.
Butiran mangsa dan lokasi telah disunting daripada kertas mahkamah kerana perintah gag yang melindungi identiti mangsa.
Mahkamah mendengar bahawa suspek, warga Indonesia mula bekerja untuk ibu mangsa mulai 2021.
Selain kerja rumah, tugas utamanya sebagai pembantu rumah termasuk menjaga bayi perempuan kembar majikannya.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 5 petang, 26 Mei 2022 lalu ketika majikan suspek meninggalkan rumah untuk mengambil anak sulungnya dari prasekolah.
Pembantu rumah itu ditinggalkan di rumah bersama bayi kembar tersebut, yang ketika itu berusia 14 bulan.
Pada awalnya, dia cuba menidurkan mereka tetapi salah seorang dari bayi tersebut enggan tidur dan menyebabkannya lewat setengah jam untuk masak makan malam.
Gigit bayi tak nak tidur
Pada kira-kira jam 6.30 petang, dia didakwa telah menggigit lengan kiri bayi itu sehingga meninggalkan kesan lebam.
Apabila ibu bayi itu pulang ke rumah kira-kira setengah jam kemudian, suspek pergi bersedia memasak makan malam untuk anak-anaknya.
Ibu bayi mengesan kesan lebam gigitan
Semasa menidurkan bayi itu untuk tidur, ibu mangsa telah ternampak kesan lebam berbentuk kesan gigitan pada lengan bayi tersebut.
Ibu mangsa kemudian mengesyaki pembantu rumahnya telah menggigit mangsa dan menyoalnya berkenaan kesan tersebut. Pada mulanya, suspek telah menafikan berbuat demikian, tetapi akhirnya dia mengakui perbuatannya itu.
Pembantu rumah itu kemudiannya telah berlutut dan meminta maaf, namun majikannya tidak menghiraukannya dan melaporkan perkara itu kepada polis.
Pendakwa raya berkata bahawa mangsa sangat terdedah kepada bahaya dan terlalu muda. Pembantu rumah itu telah menyalahgunakan kedudukan amanah yang diberikan kepadanya.
Beliau berkata, pembantu rumah itu telah menyebabkan mangsa cedera dengan ‘sengaja’ dan kesalahan itu ‘tidak wajar’ dilakukan hanya kerana mangsa enggan tidur.
Pembantu rumah itu jelas menggigit mangsa untuk melepaskan kekecewaannya, dan lebam itu dapat dilihat pada keesokan harinya, kata pendakwa raya itu.
BACA: Kata Nak Tengok Je, 5 Punca Ramai Tak Nak Keluar Dari Tempat Ni, Normal Kalau Suami Kena Sidai
Peguam bela pembantu rumah itu berkata bahawa ini adalah satu kejadian yang amat dikesali oleh anak guamnya.
“Kemudaratan yang ditimpakan kepada mangsa adalah kecederaan dangkal. Ia adalah lebam dan tiada apa-apa yang lebih teruk daripadanya,” kata peguam bela itu.
Hakim Daerah Tan Jse Tse berkata, tidak dapat dipertikaikan bahawa pencegahan umum adalah pertimbangan hukuman yang dominan dalam kes seperti ini.
“Bagi kes penderaan kanak-kanak yang tidak membawa maut melibatkan keganasan fizikal, mahkamah mengenakan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
“Sejak itu, parlimen juga dilihat wajar untuk menggandakan hukuman bagi kes Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda,” kata Hakim Daerah tersebut.
Kerana mendera kanak-kanak dengan sengaja dan menyebabkan kesakitan fizikal yang tidak perlu, wanita itu boleh dipenjara sehingga lapan tahun, atau denda sehingga SD8,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber: CNA
The post Hanya Kerana Tak Nak Tidur, Pembantu Rumah Tergamak Gigit Bayi Sampai Lebam appeared first on Siakap Keli.


