‘Hanya Kita’ sentuh emosi, promosi inisiatif negeri secara halus​

26 Mar 2025 • 2:51 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Oleh AIDA NYAN

SHAH ALAM, 26 Mac: Siapa sangka telefilem terbitan Kerajaan Negeri berjaya menyentuh emosi penonton selain diselit unsur humor yang berjaya memecah panggung.​

Media Selangor berpeluang menghadiri sesi pratonton telefilem ‘Hanya Kita’ di Muzium Sultan Alam Shah di sini, semalam bagi mendapatkan reaksi penonton yang hadir.

image is not available
Penolong Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Syaznaz Khairul Anwar

Menurut penolong pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, telefilem itu amat menyentuh perasaan kerana membawa mesej kekeluargaan yang mendalam.

“Telefilem ni bukan sahaja menyentuh perasaan tapi ada juga unsur lawak. Apatah lagi bila ditonton,” kata Syahnaz Khariul Anwar, 42.

Beliau turut menekankan bahawa drama itu perlu ditonton bagi mendapatkan penghayatan maksimum selain mengetahui lebih lanjut inisiatif hebat Kerajaan Selangor.

image is not available
Pegawai Penerangan Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor, Farhani Shamsudin

Pegawai Penerangan Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor (PADAT) pula berkata penonton diberi peluang melihat sendiri tempat menarik yang menjadi lokasi penggambaran drama arahan Che Mie ini.

“Kadang-kadang kita sebagai penduduk negeri ini sendiri tidak sedar betapa banyak tempat menarik yang boleh diterokai. Kerajan Negeri pun berjaya masukkan program mereka dengan cara tidak formal,” kata Farhani Shamsudin, 37.

Beliau turut memuji pemilihan pelakon yang berjaya menjiwai watak dengan begitu baik.

image is not available
Pelajar UiTM, Tengku Amir Imran Tengku Abdul Rashid

“Gabungan semua elemen ini menjadikan drama ini berbeza daripada kebiasaan. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, pelajar UiTM Shah Alam, Tengku Amir Imran Tengku Abdul Rashid, 22, turut memberi ulasan positif mengenai telefilem berdurasi 155 minit itu.

“Jalan cerita yang disusun penuh dengan emosi. Apa yang menarik, cara pengarah menyelitkan inisiatif Kerajaan Selangor dilakukan secara halus dan ini menjadikan penceritaan lebih natural dan tidak terasa seperti promosi semata-mata,” katanya.

‘Hanya Kita’ merupakan telefilem kali ketiga Kerajaan Negeri yang akan menemui penonton pada 21 April depan di TV2, TV1 dan platform Media Selangor.

Selain dibarisi pelakon hebat tanah air seperti Ungku Ismail, Christina Suzanne dan Ropie, selain turut menampilkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan beberapa EXCO.