Hanya makan sejam sehari, amalan 'zaman purba' Faezah Elai ini rupanya rahsia perut sentiasa kecil - 'Pernah cecah 60kg waktu sarat mengandung'

Health & FitnessLifestyle
21 May 2026 • 10:56 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Hanya makan sejam sehari, amalan 'zaman purba' Faezah Elai ini rupanya rahsia perut sentiasa kecil - 'Pernah cecah 60kg waktu sarat mengandung'

PENAMPILAN pelakon jelita, Faezah Elai sering kali mencuri perhatian peminat kerana sentiasa kelihatan langsing dan 'maintain' persis anak dara walaupun sudah memiliki cahaya mata.

Memulakan kerjaya awal sebagai model dan pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja 2005/2006, ansk kelahiran Pulau Mutiara itu mempunyai rahsia tersendiri dalam menjaga bentuk badannya.

Malah amalan tersebut bukanlah perkara baharu sebaliknya telah menjadi rutin hidupnya sejak sekian lama.

Mengulas mengenai fizikalnya, Faezah secara jujur mengakui bahawa dia memiliki genetik yang sangat mudah mengalami kenaikan berat badan.

Memandangkan dirinya berdarah kacukan, perkara tersebut menuntut disiplin yang tinggi untuk memastikan berat badannya tidak melonjak naik.

"Saya kan anak Benggali, bapa saya pula orang Pakistan. Jadi, badan ini memang jenis yang senang sangat nak naik," selorohnya membuka cerita kepada SinarPlus baru-baru ini.

Menyedari tuntutan kerjayanya sebagai seorang anak seni yang sering menghiasi kaca televisyen, pelakon filem Anak Manja Returns itu menganggap penampilan yang fit adalah satu keperluan penting.

Malah, visual di dalam TV sering kali membuatkan seseorang itu kelihatan lebih besar daripada saiz sebenar, sekali gus membuatkan dia lebih peka untuk mengekalkan bentuk badan yang kecil.

Bagaimanapun, selain faktor kerjaya, Faezah mempunyai alasan tersendiri yang cukup menyentuh hati mengapa dia begitu menitikberatkan soal berat badan.

Image from: Hanya makan sejam sehari, amalan 'zaman purba' Faezah Elai ini rupanya rahsia perut sentiasa kecil - 'Pernah cecah 60kg waktu sarat mengandung'

"Susah sebab bila kita ada anak, kadang-kadang kita kena fit. Sebab itu senang daripada banyak hal.

"Tak adalah, kalau kita sakit nanti, bolehlah suami angkat," ujarnya berseloroh namun penuh makna.

Berkongsi lanjut mengenai rutin pemakanannya, Faezah mendedahkan dia mengamalkan kaedah Intermittent Fasting (IF) yang dilakukannya dengan cara tersendiri.

Menariknya, amalan tersebut bukanlah trend yang baru diikutinya semata-mata untuk kurus, sebaliknya sudah menjadi tabiat sejak fasa sebelum berkahwin lagi.

"Amalan ini daripada zaman 'purba' lagi lah, bukan yang sekarang punya cerita.

"Saya dah buat daripada zaman anak dara lagi," katanya.

Menerusi kaedah itu, Faezah hanya memperuntukkan masa selama satu jam sahaja untuk makan dalam tempoh sehari, manakala baki waktu yang lain diisi dengan berpuasa.

Strategi tersebut membolehkan graduan Diploma Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi MARA Malaysia itu menikmati apa sahaja hidangan kegemarannya tanpa sekatan diet yang ketat, namun dalam kuantiti yang terkawal.

"Dalam masa 24 jam satu hari tu, saya makan sejam saja. Makanlah apa yang nak makan.Bagi saya tak ada istilah diet sangat sebab kita cuma makan masa sejam itu sahaja.

"Tapi makan pun tak banyak, jadi perut kita pun automatik jadi kecil," jelasnya lagi.

Image from: Hanya makan sejam sehari, amalan 'zaman purba' Faezah Elai ini rupanya rahsia perut sentiasa kecil - 'Pernah cecah 60kg waktu sarat mengandung'

Disiplin yang tinggi dalam menjaga pemakanan terbukti membuahkan hasil yang luar biasa apabila melihat kepada sejarah berat badannya.

Ibu kepada Dealova Heyrinna dan Auroroa Heyrinna itu berkongsi pengalaman ketika tempoh kehamilan yang mana berat badannya pernah mencecah angka 60 kilogram (kg) sewaktu usia kandungan sembilan bulan.

Namun, angka tersebut berjaya diturunkan dalam tempoh yang sangat singkat selepas melahirkan anak.

"Masa mengandung sembilan bulan nak beranak, berat saya 60kg. Lepas bersalin, berat turun ke 55 kg.

"Selepas dua minggu terus jadi 50 kg sehinggalah kembali ke berat asal sekitar 40 kg lebih," kongsinya.

Meskipun pernah meluangkan masa bersenam di pusat gimnasium suatu ketika dahulu, Faezah mendedahkan aktiviti tersebut telah dihentikan sepenuhnya sejak pandemik melanda.

Kini, tumpuan utamanya dipasangkan sepenuhnya kepada kawalan menu harian kerana menganggap makanan adalah kunci utama kepada kesihatan tubuh badan.

"Pernah pergi gim sebelum Covid-19 dulu, tapi sekarang sudah tidak lagi. Apa-apa pun, kita memang kena jaga makanan," ulasnya ringkas.

Memasuki usia yang semakin matang, pelakon Pembantu Wanita Terbaik 2011 menerusi filem Cun itu kini meletakkan faktor kesihatan sebagai keutamaan tertinggi berbanding kepentingan estetika semata-mata.

Bagi isteri kesayangan pengarah terkenal Heykal Hanifah, komitmen yang tinggi untuk mengekalkan tahap kesihatan yang optimum adalah demi memastikan tanggungjawabnya terhadap keluarga tidak terabai.

Image from: Hanya makan sejam sehari, amalan 'zaman purba' Faezah Elai ini rupanya rahsia perut sentiasa kecil - 'Pernah cecah 60kg waktu sarat mengandung'

Di samping mengelakkan diri daripada tekanan emosi yang boleh memudaratkan nyawa.

"Kita kena disiplin sebab sudah berumur, anak pula ramai.

"Anak ramai ni kalau kita sakit, siapa pula yang nak kerja kan? Lagipun, stres sekarang ini banyak faktor dan pressure.

"Stres ini lagi cepat buat orang 'padam' (meninggal dunia). Sebab itulah kita kena jaga," akhirinya penuh pesan.

View Original Article