Hanya ‘Ore Kelate’ Boleh Dulang Emas Di Kelantan, Lesen Dibuka Januari Depan

LocalPolitics
3 Dec 2025 • 4:11 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bermula tahun depan, kerajaan negeri Kelatan menetapkan syarat permohonan lesen untuk mendulang emas yang akan dikeluarkan pada Januari ini kepada rakyatnya sahaja.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kebenaran itu selaras dengan Seksyen 28 Enakmen Mineral 2001 iaitu kerajaan negeri menetapkan emas yang diperoleh hanya boleh dijual kepada pembeli yang diiktiraf kerajaan negeri sahaja.

Menurutnya, sehubungan itu, permohonan untuk mendapatkan lesen terbabit boleh dibuat melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri atau jajahan bermula Januari tahun depan.

Bayaran RM100 setahun ditetapkan kepada rakyat Kelantan

Ujar Mohamed Fadzli, bayaran sebanyak RM100 setahun ditetapkan kepada rakyat Kelantan untuk mendapatkan lesen mendulang emas.

“Setiap rakyat Kelantan hanya boleh mohon satu lesen sahaja dan ia tidak boleh dipindah milik kepada individu lain.

“Waktu mendulang emas pula bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang dan tidak dibenarkan menjalankan aktiviti itu semasa musim tengkujuh. Kerja-kerja mendulang hanya boleh dijalankan di tanah milik kerajaan yang akan diwartakan kelak,” katanya dipetik Kosmo.

Menurutnya, kawasan yang dikenal pasti mempunyai emas di Kelantan antaranya di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli.

Penggunaan mesin mudah alih tidak dibenarkan

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu, penggunaan mesin mudah alih juga tidak dibenarkan.

“Pembeli emas ini perlu memohon lesen dengan PTG kerana mereka akan terikat dengan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri.

“Garis panduan itu bagi membolehkan segala permohonan dilakukan secara teratur mengikut garis panduan baharu yang ditetapkan bagi menjaga kebajikan pendulang dan memastikan aktiviti itu tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, Mohamed Fadzli berkata, beberapa syarat tambahan berkaitan pemeliharaan alam sekitar turut dimasukkan dalam garis panduan itu.

Jangan tinggal kerja hakiki demi mendulang emas – Exco Kelantan

Terdahulu, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Rohani Ibrahim menasihati orang ramai agar tidak meninggalkan kerja hakiki hanya kerana ingin mendulang emas.

Memetik Sinar Harian, orang ramai perlu membuat pertimbangan matang jika mahu bergelar pendulang emas kerana ia memerlukan masa, tenaga, ilmu serta sanggup menghadapi cabaran.

“Jangan pula semua pakat tinggal kerja dan pergi mendulang emas. Bukan mudah hendak dapat emas, untuk kerja sampingan mungkin boleh,” katanya berseloroh.

Baca Artikel Berkaitan: Exco Kelantan Nasihat Jangan Tinggal Kerja Tetap Demi Dulang Emas