Hanya satu daripada lima pelanggan e-dagang Malaysia dikategorikan pembeli bijak

Business & Finance
21 Oct 2026 • 3:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hanya satu daripada lima pelanggan e-dagang Malaysia dikategorikan pembeli bijak
Kaya (kiri) dan Simon ketika sesi soal jawab bersama media selepas pembentangan laporan kajian bertajuk Pengguna Bijak eDagang 2026: Asia Tenggara di ibu negara pada Selasa. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Image from: Hanya satu daripada lima pelanggan e-dagang Malaysia dikategorikan pembeli bijak
Image from: Hanya satu daripada lima pelanggan e-dagang Malaysia dikategorikan pembeli bijak
Simon ketika membentangkan laporan bertajuk Pengguna Bijak eDagang 2026: Asia Tenggara pada Selasa. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Image from: Hanya satu daripada lima pelanggan e-dagang Malaysia dikategorikan pembeli bijak
Kaya menjelaskan komitmen Lazada dalam membantu pengguna menjadi pembeli bijak dalam talian. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

HANYA 20 peratus atau satu daripada lima pembeli dalam talian di Malaysia dikategorikan sebagai pembeli bijak, menurut dapatan kajian bersama Lazada dan Cube Asia.

Bagaimanapun, perbelanjaan bulanan kumpulan itu adalah 36 peratus lebih tinggi berbanding pengguna lain, mengatasi perbezaan 31 peratus yang dicatatkan di peringkat Asia Tenggara.

Laporan bertajuk Pengguna Bijak e-Dagang 2026: Asia Tenggara itu mentakrifkan pembeli bijak sebagai individu yang memenuhi penanda aras khusus dalam empat dimensi, iaitu pengesahan butiran produk, pengoptimuman nilai, keyakinan dan perlindungan serta kecekapan digital.

Dapatan itu turut mendedahkan perbezaan corak perbelanjaan berkenaan mewakili jurang perbelanjaan dalam pasaran e-dagang Malaysia yang dianggarkan berjumlah AS$900 juta, bersamaan kira-kira RM3.67 bilion setahun.

**media[3684960]**

Pengasas bersama Cube Asia, Simon Torring berkata, peratusan pembeli bijak di Malaysia ketika ini ialah 20 peratus, sedikit rendah berbanding purata serantau sebanyak 24 peratus.

Menurutnya, pembeli bijak di Malaysia bagaimanapun menyumbang 25 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan e-dagang.

“Walaupun peratusan pembeli bijak di Malaysia berada di bawah purata serantau sebanyak 24 peratus, kajian ini menunjukkan terdapat peluang untuk memperkukuh tabiat membeli-belah, khususnya dalam aspek pengesahan maklumat dan penjual.

“Peratusan Malaysia yang lebih rendah berbanding beberapa negara seperti Vietnam dan Filipina juga tidak semestinya menunjukkan kedudukan Malaysia lebih buruk. Malah, peratusan Malaysia adalah dua kali ganda berbanding Singapura,” katanya ketika membentangkan laporan kajian itu di ibu negara pada Selasa.

Kajian itu melibatkan 6,000 pengguna dalam talian berusia antara 18 hingga 61 tahun di enam negara Asia Tenggara, termasuk 1,000 responden dari Malaysia.

Dalam pada itu, sebanyak 17 peratus pembeli dalam talian di Malaysia dikategorikan sebagai Pembeli Hampir Bijak selepas memenuhi tiga daripada empat kriteria berkenaan.

Daripada kumpulan itu, 45 peratus masih belum memenuhi kriteria pengesahan yang merangkumi semakan butiran produk, ulasan pembeli dan maklumat ketulenan.

Kajian itu turut mendapati 62 peratus responden Malaysia menyemak maklumat penjual sebelum membuat pembelian, sekali gus menunjukkan kepentingan maklumat yang jelas dan boleh dipercayai dalam meningkatkan keyakinan pengguna.

Dari segi perlindungan, sebanyak 39 peratus Pembeli Bijak sanggup membayar lebih untuk mendapatkan perlindungan pembelian yang lebih baik berbanding 24 peratus Pembeli Umum.

Selain itu, 43 peratus Pembeli Bijak memperuntukkan lebih separuh daripada perbelanjaan dalam talian mereka kepada bahagian Mall di platform e-dagang, berbanding 29 peratus Pembeli Umum.

Sebanyak 32 peratus Pembeli Bijak juga sanggup berbelanja lebih untuk mengaktifkan diskaun berbanding 29 peratus Pembeli Umum.

Ekosistem eDagang Malaysia di tahap baik

Simon menjelaskan, terdapat perbezaan penting yang perlu difahami kerana tingkah laku pembelian bijak mempunyai kaitan dengan tahap perlindungan yang tersedia dalam persekitaran membeli-belah sesebuah negara.

***media[3684961]**

Katanya, pengguna perlu lebih bergantung pada usaha sendiri untuk melindungi diri ketika membeli-belah di negara yang mempunyai perlindungan platform, penjual atau kerajaan yang kurang menyeluruh.

“Sebahagian daripada skor Malaysia juga mencerminkan hakikat bahawa ekosistem e-dagang negara berfungsi dengan agak baik.

“Platform e-dagang berdaftar secara tempatan dan Malaysia mencatatkan bahagian pengalaman pembelian yang berjaya dan memuaskan lebih tinggi berbanding beberapa pasaran lain. Justeru, Malaysia sebenarnya berada pada kedudukan yang baik dalam aspek ini,” katanya.

Lazada bantu pengguna bijak berbelanja

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Kaya Qin berkata, Lazada akan terus memperkukuh ciri keselamatan, pengesahan penjual dan perlindungan pengguna bagi membantu rakyat Malaysia membuat keputusan lebih bijak ketika membeli-belah dalam talian.

Katanya, antara usaha yang dilaksanakan ialah menyediakan persekitaran pembelian lebih terjamin menerusi LazMall, yang menawarkan produk daripada jenama dan penjual rasmi serta menyediakan jaminan ketulenan produk.

“Kami mahu membantu rakyat Malaysia berbelanja dengan lebih bijak, bukan semata-mata berbelanja lebih banyak. Sama ada membeli barangan dapur, keperluan persekolahan atau peralatan rumah, setiap ringgit tetap penting tanpa mengira tahap pendapatan.

“Pembelian yang berbaloi bukan hanya soal harga ketika membuat bayaran. Pengguna juga perlu tahu jumlah sebenar yang dibayar, siapa penjualnya dan bantuan yang boleh diperoleh sekiranya timbul masalah selepas pembelian,” katanya.

Tambah Kaya, Lazada terus memberi tumpuan kepada usaha memudahkan pengguna mengenal pasti penjual yang dipercayai, membandingkan tawaran serta mendapatkan perlindungan apabila diperlukan.

Katanya, dasar pemulangan dan bayaran balik turut menjadi antara komponen penting bagi memastikan pengguna mendapat pengalaman yang baik selepas membuat pembelian.

Platform itu juga menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu pengguna menapis dan membandingkan produk berdasarkan harga, kualiti, ulasan serta ketersediaan stok.

**media[3684962]**

“Ejen Bayaran Balik (Refund Agent) Lazada berjaya menyelesaikan 37.6 peratus permohonan bayaran balik di Malaysia secara automatik.

“Kes yang lebih rumit atau melibatkan bukti bercanggah pula dikendalikan oleh petugas khidmat pelanggan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved