Hanya selepas semakan oleh Majlis Fatwa Negeri

LocalPolitics
17 Apr 2025 • 1:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

MEMBAKUT: Kerajaan Negeri hanya akan melaksanakan sebarang keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan (MKI) selepas disemak Jawatankuasa Fatwa Lajna (JKFL) Negeri Sabah berdasarkan Fiqh Sabahi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Sabah Datuk Dr. Ariffin Arif berkata, Fiqh Sabahi adalah pelaksanaan dakwah dan akidah berdasarkan kesesuaian serta situasi di negeri ini.

Sehubungan itu katanya, pelaksanaan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebelum ini akan diambil perhatian selepas penelitian oleh MKI dan JKFL.

“MKI terdiri daripada Mufti-Mufti dari semua di Malaysia dan apa pun keputusan MKI akan dibincang dan diputuskan dalam JKFL yang biasanya dipertimbangkan berdasarkan Fiqh Sabahi.

“Kita ada Fiqh Sabahi, artinya cara kita berdakwah dan melaksanakan apa-apa berhubung dengan syariah serta akidah berdasarkan keadaan kita di Sabah.

“Ini adalah perkara asas yang kita utamakan dan kita akan laksanakan berdasarkan manhaj ini atau apa yang sesuai di negeri Sabah,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Membakut, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Sabah akan melaksanakan sebarang keputusan MKI berkaitan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia mengenai pencerobohan Israel ke atas Palestin.

Sebelum ini, Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia memutuskan fatwa mewajibkan jihad harta untuk membantu rakyat Palestin di Gaza dan mengharamkan untuk menyokong Israel dalam apa jua bentuk sokongan.

Antara intipati fatwa ialah kewajipan campur tangan ketenteraan segera negara-negara Arab dan Islam, serta keperluan mengkaji semula perjanjian damai yang dimeterai beberapa negara Arab dengan entiti penjajah.

Susulan itu, satu perbincangan khas MKI anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan diadakan dalam kadar segera bagi meneliti fatwa itu secara mendalam dan menyeluruh.

Terdahulu, lebih 10,000 masyarakat pelbagai kaum dan agama hadir ke majlis rumah terbuka itu yang turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag serta barisan kepimpinan negeri juga hadir memeriahkan majlis itu yang diadakan di Kampung Pimping, di sini.