
IPOH: Hanya mayat seorang lelaki ditemukan di kawasan air terjun Burmese Pool Bukit Larut, Taiping dekat sini dalam insiden yang berlaku petang semalam dan bukan tiga orang seperti yang tular di media sosial, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Supt Razlam Ab Hamid.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian mangsa lemas dan hanyut dibawa arus deras di lokasi tersebut pada pukul 5.15 petang semalam.
Razlam berkata sebaik tiba di lokasi kejadian pada 5.25 petang, pihaknya dimaklumkan oleh empat rakan mangsa bahawa lelaki berusia 28 tahun yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu dikatakan telah dibawa arus sungai.
“Usaha mencari dan menyelamat mangsa dihentikan sementara pada pukul 8 malam kerana keadaan hujan lebat dan arus sungai yang deras.
“Mayat mangsa ditemukan pada pukul 10.10 pagi tadi iaitu kira-kira satu kilometer (km) dari tempat kejadian di kawasan Sungai Batu Teguh setelah operasi bersambung semula pada 8 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata mayat mangsa yang hanya berseluar pendek dijumpai dalam keadaan tertiarap serta muka terlungkup di dalam air.
Pasukan carilamat melibatkan 12 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 13 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Balai Bomba Kamunting.
“Pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan si mati mendapati terdapat kecederaan pada hidung dan tiada tanda unsur-unsur jenayah,” katanya menambah mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat.
Beliau berkata tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap individu kerana menularkan maklumat tidak tepat.
Semalam dilaporkan pemilik akaun Facebook ‘Hotdtaiping Official’ membuat hantaran berkaitan tiga orang mangsa telah dihanyutkan arus deras dan fenomena kepala air di Burmese Pool.-Bernama
