Happy Potato sasar 200 cawangan menjelang 2028

LocalBusiness & Finance
31 Aug 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Happy Potato sasar 200 cawangan menjelang 2028

MUKADIMAH

DALAM persekitaran perniagaan yang mencabar, kemampuan sesebuah jenama untuk terus berkembang bukan sahaja bergantung kepada kualiti produk, tetapi turut memerlukan strategi pemasaran yang berkesan, pengukuhan rangkaian pengedaran serta keupayaan memahami perubahan kehendak pengguna.

Bagi jenama tempatan, peluang untuk berkembang juga semakin luas apabila permintaan terhadap produk buatan Malaysia mendapat perhatian di pasaran luar negara. 

Justeru, perancangan untuk memperkukuh kedudukan dalam pasaran domestik perlu bergerak seiring dengan usaha meneroka pasaran antarabangsa yang mempunyai potensi pertumbuhan lebih besar.

Dalam segmen makanan ringan berasaskan kentang, Happy Potato tampil dengan pendekatan tersendiri dalam mengembangkan produk dan jenamanya di pasaran.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Happy Potato, EDMUND LIM dan Pengasas Bersama dan Pengarahnya, COLLEEN PHANG berkongsi dengan Wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI mengenai strategi pengembangan pasaran serta perancangan pertumbuhan Happy Potato di dalam dan luar negara.

 

UTUSAN: Bagaimana prestasi perniagaan Happy Potato sejak ditubuhkan dari segi pertumbuhan jualan, pembukaan cawangan dan penerimaan pelanggan?

EDMUND: Perkembangan Happy Potato sangat memberangsangkan sejak kami bermula pada tahun 2019. Bermula daripada sebuah cawangan tempatan di Sabah, kami kini mempunyai lebih 117 cawangan di Malaysia dan 126 cawangan di lima negara.

Kami berjaya memasuki empat pasaran baharu iaitu Bangladesh, Indonesia, China dan Kemboja dalam tempoh enam bulan sahaja. Pertumbuhan ini didorong oleh sambutan pelanggan yang berterusan, sokongan rakan niaga serta usaha kami mengekalkan kualiti produk dan pengalaman pelanggan. 

Perkembangan cawangan yang konsisten juga mencerminkan keyakinan terhadap jenama Happy Potato.

 

Apakah sasaran syarikat dalam perancangan untuk menambah cawangan atau menembusi pasaran baharu? 

Ketika ini, Happy Potato beroperasi di lima pasaran iaitu Malaysia, Bangladesh, Indonesia, Kemboja dan China. 

Kami menyasarkan 200 cawangan di seluruh Malaysia menjelang 2028 serta tiga hingga lima pasaran baharu di Asia. 

Namun begitu, kami sentiasa mengutamakan pertumbuhan yang mampan dan memastikan setiap pasaran benar-benar bersedia sebelum kami berkembang.

Buat masa ini, kami belum bersedia mengumumkan pasaran baharu secara spesifik kerana setiap kemasukan bergantung kepada kesiapsiagaan pasaran dan rakan francais yang sesuai. 

Apa yang boleh kami kongsikan ialah kami akan terus memberi tumpuan kepada rantau Asia, dan pengembangan akan dilaksanakan secara berperingkat dan mampan.

 

Apakah faktor utama yang akan menjadi pemacu pertumbuhan Happy Potato pada masa depan dan adakah jenama ini mampu berkembang menjadi pemain makanan dan minuman (F&B) yang lebih besar di Malaysia serta peringkat antarabangsa?

Fokus kami adalah membina pertumbuhan yang mampan melalui produk yang konsisten, operasi yang kukuh dan pengembangan yang terancang. 

Kami percaya setiap pasaran mempunyai keperluan yang berbeza, justeru pendekatan kami adalah memahami pengguna tempatan sambil mengekalkan identiti jenama Happy Potato. 

Keyakinan kami datang daripada pengalaman membangunkan jenama di beberapa pasaran serta sokongan pelanggan yang terus berkembang.

 

Apakah strategi utama Happy Potato untuk terus kekal berdaya saing dalam industri F&B yang semakin kompetitif?

Happy Potato bukan menjual kentang goreng semata-mata, tetapi jenama kami memberi fokus kepada satu kategori dan berusaha menjadi pakar dalam kategori tersebut. 

Strategi kami adalah memastikan pengalaman menikmati kentang goreng sentiasa konsisten melalui penggunaan kentang berkualiti, pilihan perisa yang pelbagai dan inovasi produk yang sentiasa diperbaharui mengikut citarasa pengguna.

Pada masa yang sama, kami mengembangkan perniagaan secara berperingkat supaya setiap cawangan dapat mengekalkan standard operasi dan kualiti yang sama. 

Kami percaya pertumbuhan yang mampan adalah penting selain pertumbuhan yang pantas.

 

Apakah status pensijilan halal Happy Potato ketika ini? Mengapa pensijilan halal penting kepada syarikat, bukan sahaja untuk pengguna Muslim tetapi juga dari sudut peluang perniagaan dan eksport?

Beberapa cawangan Happy Potato telah menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), manakala cawangan lain sedang melalui proses permohonan secara berperingkat. 

Kami sentiasa mengendalikan operasi berdasarkan keperluan dan garis panduan halal, termasuk dalam pemilihan bahan mentah, penyediaan makanan dan amalan operasi harian.

Pensijilan halal mencerminkan komitmen Happy Potato terhadap standard kualiti, integriti, kebersihan dan keyakinan pengguna. Ia juga menjadi nilai tambah dalam menyokong pertumbuhan perniagaan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

Apakah cabaran terbesar yang dihadapi dalam mendapatkan atau mengekalkan pensijilan halal dan bagaimana syarikat mengatasinya?

COLLEEN: Pensijilan halal memerlukan pematuhan yang berterusan terhadap pelbagai keperluan, termasuk dari segi rantaian bekalan, operasi dan dokumentasi. 

Kami melihat perkara ini sebagai sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan. 

Happy Potato sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi memastikan setiap keperluan dipenuhi mengikut garis panduan yang ditetapkan.

 

Adakah Happy Potato mempunyai perancangan untuk mengembangkan perniagaan ke segmen barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), seperti makanan ringan, kentang sejuk beku, sos atau produk sedia dimakan yang boleh dipasarkan di pasar raya dan platform e-dagang?

Kami sentiasa menilai peluang untuk mengembangkan jenama Happy Potato ke kategori baharu yang selari dengan kekuatan jenama dan permintaan pengguna.

Walau bagaimanapun, fokus utama kami ketika ini adalah untuk terus mengukuhkan model perniagaan sedia ada. Sekiranya terdapat peluang yang selari dengan fokus jenama, kami akan mempertimbangkannya pada masa yang sesuai.

 

Jika syarikat bercadang memasuki pasaran FMCG, apakah produk pertama yang berpotensi diperkenalkan dan apakah faktor yang mendorong keputusan tersebut?

Masih terlalu awal untuk kami berkongsi mengenai produk tertentu. Sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan kajian pasaran, permintaan pengguna dan kesesuaian dengan jenama Happy Potato. 

Keutamaan kami adalah memastikan setiap produk yang diperkenalkan benar-benar memenuhi jangkaan pengguna dan mampu mengekalkan standard kualiti yang kami pegang.

 

Adakah Happy Potato menyasarkan penyenaraian di Bursa Malaysia pada masa hadapan dan apakah pencapaian utama yang perlu dicapai sebelum merealisasikan tawaran awam permulaan (IPO)?

Kami sentiasa terbuka untuk meneroka pelbagai pilihan bagi menyokong pertumbuhan syarikat pada masa hadapan. 

Namun, pada ketika ini fokus kami adalah memperkukuhkan asas perniagaan, memperluaskan kehadiran jenama di pelbagai pasaran dan memastikan pertumbuhan yang mampan. – UTUSAN

The post Happy Potato sasar 200 cawangan menjelang 2028 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved