
WASHINGTON: Penghapusan hutang golongan muda Amerika Syarikat (AS) dicadangkan sebagai insentif untuk menarik mereka menyertai tentera bagi kemungkinan operasi darat terhadap Iran.
Cadangan itu dikemukakan AJ Jaff, pesara pegawai Angkatan Tentera Kanada, menerusi rencana pendapat yang diterbitkan dalam akhbar Jerusalem Post.
Jaff mencadangkan pinjaman pelajaran, hutang kad kredit dan liabiliti lain rakyat Amerika dilupuskan selepas mereka berkhidmat dalam tentera selama 24 atau 36 bulan.
Menurutnya, langkah itu mampu meningkatkan pengambilan anggota tentera secara sukarela pada skala besar.
Beliau turut berhujah perang dengan Iran tidak akan dimenangi melalui serangan udara semata-mata dan pencerobohan darat memerlukan antara 750,000 hingga 1.5 juta anggota tentera AS.
Jumlah itu jauh melebihi kira-kira 452,000 anggota yang kini berkhidmat dalam Tentera Darat AS secara aktif.
Artikel berkenaan mencadangkan penghapusan hutang sebagai antara cara untuk menangani kekurangan anggota sekiranya operasi ketenteraan berskala besar terhadap Iran dilancarkan.
“Keadaan ekonomi rakyat Amerika berusia 20-an dan 30-an yang dibebani hutang menjadikan pendekatan ini mekanisme paling berkesan yang tersedia untuk Pentagon dan pentadbiran Trump,” tulis Jaff, sambil menegaskan negara menghasilkan anggota tentera yang diperlukan melalui insentif yang mampu mempengaruhi penduduk mereka.
Artikel itu menerima kritikan meluas, dengan ramai menganggapnya sebagai tanda Tel Aviv mahu rakyat AS berperang dan terkorban dalam konflik bagi pihak Israel.
Ketegangan di Asia Barat meningkat selepas AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada akhir Februari, mendorong Teheran membalas dengan serangan ke atas Israel serta beberapa negara serantau yang menempatkan aset tentera AS.
Washington dan Teheran mencapai rangka kerja bagi meredakan ketegangan pada Jun menerusi pengantaraan Qatar dan Pakistan, namun permusuhan kembali tercetus susulan pertikaian berterusan berhubung Selat Hormuz serta operasi ketenteraan secara timbal balik.
Selain Iran, Israel turut melancarkan serangan besar-besaran di Gaza sejak Oktober 2023 yang mengorbankan lebih 73,000 orang dan mencederakan lebih 174,000 yang lain, selain menyebabkan kemusnahan kepada 90 peratus kemudahan awam di wilayah berkenaan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sejak 2024 atas dakwaan melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.- ANADOLU
The post Hapus hutang jadi ‘umpan’ tarik belia AS sertai tentera appeared first on Utusan Malaysia.

