
KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta mengharamkan sepenuhnya pengimportan cecair vape dari luar negara, sekali gus meningkatkan penguatkuasaan ke atas setiap premis jualan vape.
Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil berkata, langkah tersebut lebih pragmatik berbanding menutup industri tempatan yang sah dan terkawal.
Menurut beliau, pengharaman industri vape di Malaysia adalah satu langkah yang tidak adil kepada pengeluar tempatan kerana semua syarikat terbabit beroperasi berlandaskan undang-undang dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara.
“Kami mengambil maklum kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang bersedia untuk meneliti semula kemungkinan pengharaman penuh rokok elektronik atau vape di Malaysia.
“Nanostix menghargai usaha kerajaan selama ini dalam melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengawal penggunaan rokok dan vape demi kesihatan awam, termasuk mengambil pendekatan kawal selia terhadap produk vape,” katanya kepada Getaran.

Nanostix pada masa sama jelas beliau, berharap pertimbangan sewajarnya diambil kerajaan bagi memastikan pelaksanaan yang lebih seimbang.
“Kami percaya bahawa pengharaman penuh industri vape di Malaysia bukanlah penyelesaian yang adil dan berkesan terhadap isu yang sedang berlaku seperti laporan mengenai penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam cecair vape.
“Isu sebenar yang perlu ditangani segera adalah peningkatan penguatkuasaan vape haram dan ketidakadilan terhadap pengeluar tempatan,” katanya.
Mengulas lanjut Shahabudeen berkata, isu seperti penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam cecair vape berlaku akibat penguatkuasaan yang lemah sehingga membolehkan vape haram ini berleluasa.
Beliau menarik perhatian, semua cecair vape mengandungi bahan terlarang itu berasal daripada produk import yang dibancuh oleh pihak yang tidak diketahui, dihasilkan tanpa pemantauan dan diseludup masuk ke Malaysia tanpa membayar cukai.
“Sebaliknya, pengilang tempatan yang sah seperti Nanostix tidak pernah mengeluarkan produk yang mengandungi bahan terlarang.
“Nanostix beroperasi dengan penuh tanggungjawab, mematuhi peraturan yang ditetapkan dan premis sentiasa berada di bawah pemantauan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Tegas Shahabudeen, kebocoran di pintu sempadan menyebabkan produk import berbahaya bebas memasuki pasaran Malaysia tanpa kawalan.
“Produk ini dijual secara terbuka tanpa pemantauan, membahayakan pengguna dan menjejaskan industri tempatan yang beroperasi secara sah,” katanya.
Penjualan produk haram termasuk yang diimport itu juga tegas beliau, tidak memberikan tidak memberikan sumbangan kewangan kepada kerajaan.
“Mereka tidak membayar cukai, tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan produk dan dibiarkan memasuki pasaran secara haram.
“Justeru, kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan terhadap cecair vape yang tidak berdaftar, apatah lagi ia boleh memberikan kesan secara langsung kepada negara,” katanya. - Getaran, 7 Februari 2025
