Haramkan Penjualan Vape ‘Open Pod’, Mudah Diisi Bahan Terlarang

LocalPolitics
21 Jun 2025 • 8:46 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Peranti vape jenis ‘open pod’ sering dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab untuk diisi bahan terlarang - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta bertindak tegas dengan mengharamkan penjualan peranti vape dari jenis ‘open pod’ kerana ia mudah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab. 

Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil berkata, larangan tersebut juga harus dikuatkuasakan ke atas cecair isian semula yang digunakan untuk peranti jenis itu. 

Menurut beliau, peranti vape jenis ‘open pod’ dan cecair isian semula sering dijadikan alat untuk ‘melindungi’ pengambilan bahan terlarang.

“Hanya benarkan penjualan peranti jenis close pod (sistem tertutup) yang dikawal, dipantau, dan berdaftar sepenuhnya.

“Peranti jenis ini lebih selamat dan menyukarkan manipulasi kandungan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Getaran.

Jelas Shahabudeen, pihaknya menyambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua pihak melaksanakan kajian dalam usaha membanteras penyalahgunaan vape mengandungi dadah.

image is not available
Shahabudeen Jalil - Gambar fail

Kebimbangan yang dizahirkan  Perdana Menteri katanya, seiring dengan kegusaran industri vape negara.

“Penyalahgunaan dadah melalui peranti vape yang muncul kini menjadi satu cabaran baharu dan tidak boleh dipandang ringan. 

“Gejala ini amat membimbangkan dan perlu ditangani secara menyeluruh dengan sokongan semua pihak,” katanya.

Tegas beliau, dadah ialah musuh utama negara dan komuniti global sejak sekian lama, justeru penguatkuasaan undang-undang perlu diperketatkan.

“Kawalan ketat di pintu masuk negara harus dipertingkat untuk mengekang penyeludupan vape dan cecair haram. 

“Selain itu, pemantauan premis-premis jualan secara berkala juga perlu dilakukan dengan peranan agensi penguatkuasa yang jelas,” katanya.

Shahabudeen menarik perhatian, semua tindakan itu boleh dilaksanakan secara efektif menerusi penubuhan Majlis Pemantauan Vape Malaysia bagi memantau secara menyuruh industri vape tempatan. 

Tambahnya, pemantauan tersebut meliputi aspek kawal selia industri vape daripada pengilangan, pengedaran, kawalan produk hingga ke penguatkuasaan di lapangan.

“Nanostix bersedia menawarkan diri untuk menerajui majlis ini bersama agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa dan kementerian berkaitan seperti  Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, serta Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya.

Mencadangkan agar sekatan ketat dibuat ke atas pengimportan peranti dan cecair vape dari luar negara, Shahabudeen berkata, ia adalah antara punca utama produk vape dicemari dengan dadah atau bahan terlarang.

“Nanostix menyarankan hanya produk dari syarikat berdaftar, yang mematuhi garis panduan ketat (seperti ujian makmal, kod keselamatan, semakan usia pembeli), dibenarkan dalam pasaran. 

“Ini akan menyekat penjualan vape tiruan dan tidak beretika. Pelekat label cukai pada produk Vape perlu dilaksanakan bagi membezakan produk yang sah dan haram,” katanya. 

Beliau memberitahu, sektor vape yang berdaftar, dilesenkan dan dikawal selia di Malaysia turut menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara.

Katanya, lebih puluhan ribu peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung diwujudkan menerusi industri ini.

“Sejak pengenalan cukai eksais ke atas cecair vape nikotin, hasil kutipan cukai kepada kerajaan telah mencecah ratusan juta ringgit, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan negara,” katanya. - Getaran, 21 Jun 2025