
KOTA BHARU - “Sebagai mangsa hakisan, saya harap kerajaan mengiktiraf hak pemilik tanah yang hilang akibat hakisan dan berikan pampasan yang wajar.”
Itu harapan Awaluddin Sulong, 66, antara penduduk terkesan dengan hakisan di Pantai Sabak di sini.
Menurutnya, walaupun sudah 20 tahun rumah lenyap ditelan laut namun sehingga hari ini mereka sekeluarga masih terpaksa menumpang di tanah milik kerajaan negeri.
“Saya hanya menerima pampasan berjumlah RM5,000 semasa era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika diminta memberi pandangan berhubung Kanun Tanah Negara 1965 memperuntukan lot tanah yang ‘hilang’ akibat hakisan akan automatik menjadi milik kerajaan dan pemilik hanya perlu membayar cukai mengikut keluasan baki tanah yang tinggal.
**media[3200655]**
Ujarnya, hakisan pantai sekitar tahun 2002 hingga 2003 itu menyebabkan tanah pusaka peninggalan orang tuanya seluas 0.2 hektar hilang dibawa arus ombak ke tengah lautan.
Awaluddin berkata, ketika kejadian itu, dia berusia 40-an dan mempunyai enam anak yang masih kecil.
Ujar tukang rumah itu, kediaman mereka lenyap ditelan ombak menyebabkan dia terpaksa membina bangsal sementara di tepi pantai sebagai tempat berteduh buat keluarganya.
“Saya kemudian bina rumah atas tanah yang disediakan oleh kerajaan negeri. Tapi sampai sekarang saya masih belum dapat hak milik tanah itu.
“Saya bimbang sebab sekarang rumah yang kami diami ini atas tanah milik kerajaan negeri. Bila-bila masa boleh kena tarik balik. Usia saya pun dah lanjut,” tambahnya.




