

Laluan utama pengguna jalan raya dari Kelantan ke Kuala Lumpur iaitu Jalan Gua Musang–Merapoh mengalami kesesakan luar biasa sehingga kenderaan hampir tidak bergerak, ketika ini.
Tinjauan menerusi beberapa siaran langsung di media sosial TikTok mendapati, kesesakan panjang berlaku di laluan selepas bandar Gua Musang menghala ke kawasan Rehat dan Rawat Gua Musang sehingga Merapoh.
Keadaan tersebut dipercayai berpunca daripada permukaan jalan rosak akibat hujan berterusan selain kerja pembinaan lebuh raya baharu yang masih belum siap, sekali gus mengecilkan laluan dan memperlahankan aliran trafik.
Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah pertambahan kenderaan apabila ramai pengguna jalan raya dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti sempena Krismas dan cuti persekolahan.
