Harapan baharu buat 100 kanak-kanak penghidap jantung kongenital

LocalHealth & Fitness
10 Mar 2026 • 4:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Shaiful Bahari (kanan) melihat tayangan montaj berkait rawatan diterima pesakit jantung kongenital. - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
image is not available
Kakitangan HPUSM, USM dan wakil YJKM bergambar dengan menunjukkan isyarat hati. - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Seramai 100 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah yang menghidap penyakit jantung kongenital disasarkan menerima bantuan kos rawatan dan pembedahan menerusi Kempen Healing 100 Hearts 2026 di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Shaiful Bahari Ismail berkata, kempen itu merupakan inisiatif untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga khususnya daripada golongan B40 yang berdepan kos rawatan penyakit jantung yang tinggi.

Menurut beliau, program itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara USM dan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM) serta rakan korporat sebagai usaha memastikan kanak-kanak yang memerlukan rawatan mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tanpa kekangan ekonomi.

“Melalui kempen ini, YJKM menyasarkan untuk mengumpul dana RM300,000 bagi menampung kos rawatan 100 pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital.

“YJKM akan menaja rawatan pesakit daripada keluarga kurang berkemampuan sehingga RM3,000 bagi setiap kes yang layak dan setakat ini RM30,000 berjaya dikumpul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Healing 100 Hearts 2026 di HPUSM di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YJKM, Tan Chin Zhia.

**media[3458802]**

Dr Shaiful Bahari berkata, di Kelantan sahaja dianggarkan antara 250 hingga 300 bayi baharu dilahirkan setiap tahun dengan kecacatan jantung kongenital dan kira-kira dua pertiga daripada jumlah itu memerlukan rawatan sama ada secara pembedahan atau rawatan perubatan.

Pada tahun 2024, YJKM dan USM menandatangani Memorandum Perjanjian bagi meningkatkan akses rawatan jantung kongenital di Pantai Timur.

Sejak tempoh itu, 14 kanak-kanak penghidap jantung kongenital dapat diselamatkan melalui pembedahan yang ditaja berjumlah RM42,000.

Menurutnya, HPUSM merupakan satu-satunya hospital di Pantai Timur yang menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung kongenital, sekali gus memainkan peranan penting dalam rawatan penyakit berkenaan di rantau tersebut.

“Pesakit yang dikenal pasti oleh HPUSM akan melalui proses penilaian dan kelulusan yang telus sebelum layak menerima bantuan, manakala dana yang diluluskan akan disalurkan terus kepada pihak hospital bagi memastikan pengurusan kewangan yang berintegriti dan telus,” katanya.

Tambah beliau, antara kriteria kelayakan bagi menerima bantuan tersebut termasuk pesakit menerima rawatan di HPUSM serta mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,030 sebulan iaitu kategori B40 bagi negeri Kelantan.