Harapan baharu dalam usaha perangi rasuah

LocalPolitics
6 May 2026 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Harapan baharu dalam usaha perangi rasuah
Satu persatu pembongkaran kes penyelewengan yang didedahkan menjadi bukti peranan SPRM terus diperkasa.

PELANTIKAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman berlangsung pada waktu yang kritikal ketika negara berdepan tekanan sara hidup, ruang fiskal yang semakin sempit dan keperluan untuk menambah baik perkhidmatan awam.

Ketika ini, persoalan paling besar sebenarnya bukan sekadar bagaimana menambah hasil negara, tetapi bagaimana menghentikan kebocoran sumber yang sedia ada.

Data didedahkan sebelum ini memberi gambaran yang cukup jelas apabila Malaysia dianggarkan kehilangan kira-kira RM277 bilion dalam tempoh lima tahun antara 2018 hingga 2023 akibat rasuah. Ini bersamaan sekitar RM55 bilion setahun.

Realitinya, setiap RM55 bilion yang hilang adalah peluang yang negara terlepas untuk membina hospital, memperkukuh pendidikan atau menambah baik jaringan keselamatan sosial.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada tahun lalu turut mengakui tugas SPRM kini semakin mencabar dalam mendedahkan jejak jenayah rasuah yang disusun dengan rapi.

Kajian EMIR Research pada 2023, yang juga mengambil kira beberapa sumber data laporan terbuka melaporkan anggaran kerugian mencecah sehingga RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun di antara 1997 sehingga 2022.

Menurut Azam, angka-angka tersebut bukan sekadar statistik, tetapi merupakan petunjuk jelas bagaimana rasuah yang turut membuka ruang kepada pelbagai kesalahan lain.

Ia termasuk berkaitan pemalsuan dokumen, manipulasi dalam penyediaan penyata kewangan dan penyelewengan wang syarikat telah merosakkan keutuhan dasar, proses, sistem serta penyampaian kerajaan dan sektor swasta.

Dalam bahasa mudah, negara sebenarnya 'membakar' hasil yang cukup besar setiap tahun tanpa disedari.

Dalam konteks ini, pelantikan Abdul Halim bukan sekadar perubahan kepimpinan institusi, tetapi membawa harapan besar kepada usaha memulihkan disiplin fiskal negara.

Penulis percaya, seandainya ketirisan tersebut dapat dikurangkan waima 10 hingga 20 peratus, impak terhadap kewangan negara sudah cukup signifikan tanpa perlu memperkenalkan cukai baharu atau mengurangkan subsidi secara drastik.

Namun, cabaran yang dihadapi bukan kecil kerana kes rasuah di Malaysia bukan lagi bersifat terpencil, tetapi dilihat telah berkembang membentuk sistem melibatkan pelbagai lapisan.

Benar, satu persatu pembongkaran kes penyelewengan yang didedahkan menjadi bukti peranan SPRM terus diperkasa, dalam erti kata lain, SPRM 'buat kerja'.

Bagaimanapun, sudah tentu harapan yang disandarkan kepada Abdul Halim bukan sekadar penguat kuasa, tetapi dalam membina reformasi institusi.

Perkara paling utama adalah memperkukuh kebebasan dan kredibiliti SPRM itu sendiri.

Sistem yang membuka ruang kepada rasuah perlu terus diperbaiki kerana setiap ringgit yang berjaya dipulihkan daripada kebocoran sistem akan menjadi penjimatan langsung kepada negara.

Sekiranya negara mampu menutup kebocoran tersebut secara berperingkat dan berkesan, impaknya bukan sahaja kepada kewangan negara, tetapi juga kepada keyakinan pelabur, daya saing ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Hakikatnya, memerangi rasuah bukan hanya soal integriti tetapi juga tentang kelangsungan ekonomi negara, masa depan generasi kita.

*Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Bisnes Sinar Harian