
PORT DICKSON – Menjelang hari pengundian esok, pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berharap wakil rakyat yang dipilih memberi tumpuan kepada isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat termasuk pendidikan, bantuan kesihatan dan kebajikan mangsa banjir.
Bagi peniaga kedai makan, Nur Izzaty Syahirah Noor Zaini, 26, kewujudan sebuah pusat tuisyen di Pekan Linggi amat diperlukan memandangkan penduduk terpaksa menghantar anak-anak ke Port Dickson, Rantau atau Rembau bagi mendapatkan kelas tambahan.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja memakan masa, malah membebankan keluarga terutama golongan kurang mampu.
“Kalau boleh diwujudkan pusat tuisyen, lebih baik lagi jika percuma supaya ibu bapa yang kurang berkemampuan dapat menghantar anak-anak mereka belajar,” katanya ketika ditemui di Pekan Linggi, di sini semalam.
Dia berharap calon Pakatan Harapan DUN Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mempunyai pengalaman mentadbir Negeri Sembilan dapat membantu pembangunan di Linggi seterusnya menyelesaikan masalah isu setempat terutama banjir.
“Jika banjir saya harap belia daripada mana-mana parti boleh turun membantu cuci rumah atau kedai penduduk, bukan sekadar bagi sumbangan.
“Banjir pada 2021 amat teruk. Kalau dapat ditubuhkan satu pasukan sukarelawan belia yang sentiasa bersedia membantu mangsa banjir, ia memang sangat baik,” katanya.
Seorang warga emas, Hafizah Mohamad Saat, 57, pula berharap kerajaan negeri yang terpilih nanti mampu menambah baik bantuan kesihatan khususnya kepada golongan pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU).
“Saya terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kanan pada 2016 akibat komplikasi diabetes dan kini tidak mampu bekerja.
“Sebelum ini, saya ada menerima bantuan lampin pakai buang tetapi selama enam bulan sahaja,” katanya .
Hafizah yang sudah menetap lebih 30 tahun Linggi, turut berharap wakil rakyat yang dipilih kelak terus memberi perhatian kepada kebajikan golongan memerlukan agar mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.
The post Harapan orang Linggi, mahu pusat tuisyen dan kesihatan appeared first on Kosmo Digital.



