
SHAH ALAM, 30 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) pada tahun depan.
Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama pada peringkat persekutuan boleh diteruskan ke negeri ini jika wujud persefahaman.
“Sudah pasti sebab kita ingin meneruskan apa berlaku di pusat (persekutuan). Pasti formula pusat ini ada nilai kestabilan walaupun Selangor sudah stabil. Kalau ada ruang perbincangan kita bincang.
“Sebagai pengerusi HARAPAN Selangor, harap kita dapat kekalkan (HARAPAN). Kita terbuka untuk perbincangan kerjasama PRN akan datang,” katanya.
Dato’ Menteri Besar berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pra pelancaran aplikasi mudah alih HalalSel di Dewan Annex, di sini, hari ini.
Di peringkat persekutuan, HARAPAN menerima sokongan penuh BN dan parti gabungan lain bagi membentuk kerajaan perpaduan.
HARAPAN Perak dan BN turut bersetuju menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

The post HARAPAN Selangor mungkin bekerjasama dengan BN hadapi pilihan raya negeri appeared first on Selangorkini.

