
PETALING JAYA: Malayan Cement Bhd. (Malayan Cement) dijangka berdepan tekanan kos susulan kenaikan harga arang batu, namun prospek syarikat kekal menarik didorong aliran tempahan kukuh daripada unit hiliran YTL Cement, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya menurunkan unjuran keuntungan teras Malayan Cement bagi tahun kewangan 2027 dan 2028 masing-masing sebanyak 11 peratus dan lima peratus, susulan andaian harga arang batu yang lebih tinggi serta perubahan unjuran kadar pertukaran ringgit dan dolar Amerika Syarikat (AS).
“Kami menaikkan andaian harga arang batu kepada AS$90 (RM364.49) setan, selain menangguhkan jangkaan semakan harga simen domestik kepada tahun kewangan 2028.
“Bagaimanapun, kami mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM8.50 berdasarkan 16 kali unjuran pendapatan sesaham teras bagi 2027, mencerminkan kuasa penetapan harga kumpulan dalam menghadapi turun naik kos input,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut CIMB Securities, Indonesia dijangka terus memainkan peranan penting terhadap hala tuju harga arang batu susulan usaha negara itu memperkemas tadbir urus eksport komoditi.
Pada 21 Julai lalu, Reuters melaporkan PT Danantara Sumberdaya Indonesia (DSI) akan mempercepat pelaksanaan sistem tadbir urus bersepadu bagi pemprosesan data eksport komoditi kepada September 2026.
Indonesia turut merancang melancarkan Strategic Minerals and Commodity Exchange pada 1 Januari 2027 bagi mewujudkan harga rujukan domestik untuk komoditi eksport utama.
Harga rujukan arang batu Indonesia berkalori sederhana, iaitu 5,300 kcal sekilogram, meningkat kepada AS$96.92 (RM391.44) setan bagi separuh kedua Ogos 2026, walaupun sebahagian kenaikan itu didorong lonjakan sementara permintaan global.
Dalam pada itu, CIMB Securities berkata, aliran tempahan daripada unit hiliran YTL Cement menyediakan saluran permintaan alternatif bagi produk simen dan konkrit Malayan Cement.
Unit milik 81 peratus YTL Cement, Eastern Pretech, pada 10 Julai lalu memperoleh beberapa projek pratuang di Malaysia dan Singapura.
Di Malaysia, Eastern Pretech memenangi dua kontrak membekalkan sejumlah 117,000 unit tidur konkrit pratuang bagi projek Landasan Berkembar Lembah Klang dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), manakala di Singapura, syarikat itu akan membekalkan 19,430 meter padu elemen konkrit pratuang bagi pembangunan bersepadu bernilai S$1 bilion di Toa Payoh.
CIMB Securities berkata, perkembangan itu memberi kesan positif kepada Malayan Cement kerana projek berkenaan membuka saluran permintaan baharu bagi perniagaan simen dan konkrit siap bancuh kumpulan di Malaysia.
Bagi tahun kewangan 2027, firma penyelidikan itu mengunjurkan pendapatan Malayan Cement meningkat kepada RM5.18 bilion, manakala keuntungan bersih teras diunjurkan pada RM834 juta berbanding RM880 juta bagi tahun kewangan 2026.
Bagi tahun kewangan 2028 pula, pendapatan dijangka meningkat kepada RM5.46 bilion dengan keuntungan bersih teras mencecah RM950 juta.
Pada harga saham RM6.39, CIMB Securities menyifatkan penilaian Malayan Cement sebagai menarik dengan saham syarikat didagangkan pada 0.7 sisihan piawai di bawah purata nisbah harga kepada pendapatan (P/E) lima tahun bagi tempoh 2022 hingga 2026.
“Walaupun terdapat semakan terhadap unjuran keuntungan, kami melihat profil risiko-ganjaran yang menarik pada paras semasa,” katanya. – UTUSAN
The post Harga arang batu tekan prestasi Malayan Cement appeared first on Utusan Malaysia.

