
Harga Bahan Api Naik, Vietnam Airlines Akan Gantung Beberapa Penerbangan Domestik
Syarikat penerbangan Vietnam Airlines akan menggantung sementara penerbangan di beberapa laluan domestik susulan kekurangan bahan api jet dan kenaikan harga bahan api akibat konflik di Asia Barat yang mula memberi kesan kepada sektor penerbangan negara itu.
Syarikat penerbangan kebangsaan itu akan mengurangkan kira-kira 23 penerbangan seminggu bermula 1 April berikutan bekalan bahan api jet yang semakin terhad, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam.
Memetik Bangkok Post, VietJet Aviation JSC turut mengurangkan penerbangan di beberapa laluan berdasarkan jadual di laman tempahan mereka.
Bamboo Airways pula akan berusaha mengekalkan penerbangan semasa tempoh puncak perjalanan, namun kekerapan penerbangan mungkin lebih rendah berbanding tahun lalu jika harga minyak kekal tinggi, menurut kenyataan syarikat itu.
Mereka juga menggesa kerajaan menyediakan lebih banyak sokongan kepada syarikat penerbangan, termasuk pengurangan lanjut cukai perlindungan alam sekitar dan cukai bahan api penerbangan.

Vietnam telah mengambil langkah memperkukuh keselamatan tenaga selepas perang Iran-AS-Israel hampir menghentikan eksport minyak dan gas melalui Selat Hormuz, sekali gus menyebabkan kenaikan harga bahan api dan barisan panjang di stesen minyak.
Negara itu mempunyai dua kilang penapisan domestik yang memenuhi kira-kira 70 peratus keperluan dalam negara, namun lebih 80 peratus minyak mentah yang diimport dari Asia Barat.
Baca juga:Agensi penerbangan itu sebelum ini memberi amaran bahawa kekurangan bahan api jet boleh berlaku seawal April berikutan pembekal menangguhkan penghantaran atau mungkin mengaktifkan klausa force majeure untuk menamatkan kontrak.
Kira-kira 70 peratus bahan api jet Vietnam diimport, terutamanya dari China dan Thailand.
Di rantau Asia Tenggara, syarikat penerbangan tambang rendah Filipina, Cebu Air, merancang mengurangkan penerbangan bermula April susulan lonjakan harga bahan api akibat krisis di Asia Barat.

