Harga diesel Sabah, Sarawak kekal, tapi ada had pengisian

LocalPolitics
26 Mar 2026 • 7:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengekalkan harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, namun menghadkan had pengisian diesel berdasarkan jenis kenderaan pengguna.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan bekalan diesel mencukupi, selain membolehkan pengagihan yang lebih adil kepada semua pihak.

"Kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian ditetapkan maksimum 50 liter setiap pembelian. Beli banyak bocor. Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebih tiga tan ditetapkan maksimum 100 liter setiap pembelian.

"Selain itu, kenderaan melebihi 3 tan ditetapkan maksimum 150 liter setiap pembelian," katanya dalam perutusan khas menerusi Facebook Anwar Ibrahim pada Khamis.

Anwar memberitahu, Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter, walaupun harga diesel telah melambung naik.

"Maknanya, bila perbezaan harga ini membengkak, kita harus waspada dan mengambil tindakan pengawalan yang lebih rapi, penguatkuasaan yang lebih berkesan.

"Tetapi memandangkan keadaan geografi dan logistik Sabah Sarawak, kita mengambil keputusan yang saya fikir munasabah pada peringkat ini. Tetapi ketirisan harus dikekang dan dikawal," ujarnya.

Oleh demikian, jelas beliau, langkah menghadkan pengisian diambil untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua.

Anwar memaklumkan, kerajaan bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup sepertimana telah dikesan selama ini tanpa penyesuaian terbabit.

"Jadi saya mohon rakyat, rakan-rakan memahami langkah ini terpaksa untuk menjaga kepentingan ramai. Ia tidak mudah, mungkin sedikit menyusahkan sebahagian rakyat.

"Saya mohon pengertian dan kerjasama supaya dapat kita teruskan kerja untuk mengelak daripada ketirisan ini," menurutnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihatkan semua agensi dan jentera kerajaan harus lebih tegas dan waspada.

"Kita tidak boleh beri subsidi dan kemudian kita lihat ada penyeludupan yang mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan," tegasnya.

Anwar mengingatkan amaran keras harus diberikan sekarang dan setiap langkah penyeludupan akan berhadapan dengan seluruh kekuatan jentera kerajaan.