Harga diesel Semenanjung RM6.72 seliter

LocalBusiness & Finance
8 Apr 2026 • 7:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Harga runcit bagi diesel di Semenanjung terus meningkat pada RM6.72 seliter bagi tempoh 9 April hingga 15 April. Foto hiasan

SHAH ALAM – [KEMAS KINI] Harga runcit diesel di Semenanjung terus meningkat kepada RM6.72 seliter bagi tempoh 9 April hingga 15 April susulan krisis tenaga dunia yang berlanjutan.

Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 70 sen berbanding tempoh sebelumnya iaitu RM6.02 seliter.

Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa krisis berkenaan telah meningkatkan kos petroleum serta kos berkaitan termasuk logistik dan insurans.

"Walaupun terdapat penurunan harga minyak mentah global hari ini berikutan pengumuman gencatan senjata, kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit bahan api di Malaysia.

"Ini kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan purata harga petrol dan diesel minggu sebelumnya, bukannya harga semasa hari ini.

"Sehubungan itu, harga semasa masih mencerminkan kos bekalan yang tinggi sepanjang tempoh lima minggu lalu ketika pasaran global berada pada paras lebih tinggi, mencecah sekitar AS$150 setong bagi produk petrol dan AS$250 setong bagi produk diesel," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, MoF memaklumkan harga runcit bagi RON97 turut meningkat sebanyak 40 sen kepada RM5.35 seliter berbanding RM4.95 seliter sebelum ini bagi tempoh sama, manakala RON95 meningkat kepada RM4.27 seliter (RM3.87 seliter sebelum ini).

Selain itu, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu seperti RON95 (BUDI95) pada kadar RM1.99, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan (RM2.15), Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (RM2.05) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (RM2.15) bagi setiap liter.

"Bermula 1 April 2026, had kelayakan BUDI95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan.

"Pelarasan ini merupakan langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil," menurut kenyataan itu.

Selain itu, MoF berkata kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan di Sabah, Sarawak dan Labuan iaitu 50 liter bagi setiap pembelian untuk kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian.

Bagi kenderaan pengangkutan darat awam serta barangan tidak melebihi tiga tan pula dibenarkan sehingga 100 liter bagi setiap pembelian, manakala kenderaan melebihi tiga tan dibenarkan membuat pembelian sehingga 150 liter setiap kali.

"Sebagai langkah sementara susulan kenaikan harga diesel, kerajaan mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 pada bulan April, menjadikan jumlah bantuan sebanyak RM300 kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

"Kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi, di samping terus melindungi rakyat menerusi mekanisme sokongan bersasar yang sedia ada.

"Kerajaan akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara," katanya.