
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini (21 Jun) mengumumkan kerajaan akan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026.
Subsidi diesel disalurkan terus menerusi pengesahan MyKad, sama seperti BUDI95
Penurunan harga ini akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad seperti dilaksanakan melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan berkata, menerusi pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga Diesel subsidi yang sama dan cara yang sama di seluruh negara.
“Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.”
Beza harga diesel subsidi dan tanpa subsidi wujudkan ruang ketirisan
Tambah MOF, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi telah mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi, termasuk ke luar negara.
“Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.”
Dengan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia dan dengan itu, bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi.
“Pada masa yang sama, rakyat di Sabah dan Sarawak dengan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.”
[Kemaskini] Kuota asas diesel bersubsidi adalah 200 liter sebulan tapi boleh mohon kuota tambahan 100 liter
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sewaktu sidang media pada Isnin, 22 Jun pula memaklumkan kuota asas setiap bulan menerusi mekanisme BUDI MADANI adalah 200 liter pada harga RM2.10 seliter.
Namun kerajaan telah memperkenalkan kuota tambahan 100 liter diesel bersubsidi kepada pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, lapor Awani.
BUDI Diesel akan disepadukan dengan BUDI95 bermula 1 Julai dengan penggunaan MyKad
Menurut MOF dalam satu kenyataan berasingan pada hari sama berkata, BUDI Diesel akan disepadukan dengan BUDI95 mulai 1 Julai 2026 dengan penggunaan MyKad.
Namun menerusi infografik yang diberikan BUDI Madani Diesel yang bermula dari 1 Julai ini hanya untuk warganegara yang mempunyai lesen dan memiliki kenderaan diesel berdasarkan kriteria kelayakan.
Ini mungkin bermakna mereka yang mempunyai lesen memandu namun tidak mempunyai kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama mereka tidak layak menerima subsidi tersebut.
Pun begitu orang ramai boleh menyemak kelayakan subsidi bermula 22 Jun di laman Budi Madani atau hubungi pusah khidmat pelanggan.

Maklumat lanjut akan diumumkan Menteri Kewangan II
Menerusi kenyataan sama, MOF memaklumkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, esok (22 Jun 2026).





