
PETALING JAYA: Harga emas dunia terus merosot di bawah AS$3,800 seauns ke paras terendah dalam tempoh 14 bulan pada Rabu, susulan kebimbangan pasaran terhadap kemungkinan kenaikan kadar faedah selanjutnya oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).
Pada dagangan semalam, emas mencatatkan harga AS$3,733 seauns atau RM493.84 segram, turun 13.90 mata daripada AS$3,741.90 kelmarin.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, tekanan terhadap harga logam berharga itu didorong pengukuhan dolar AS, peningkatan jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Disember serta peningkatan hasil bon yang mengurangkan daya tarikan emas sebagai aset yang tidak memberikan pulangan faedah.
“Bagaimanapun, prospek jangka sederhana masih positif sekiranya pembelian emas oleh bank pusat kekal kukuh, khususnya dalam kalangan negara yang sedang mempelbagaikan rizab antarabangsa mereka.
“Permintaan daripada bank pusat dijangka terus menjadi faktor sokongan utama kepada harga emas, sekali gus mengimbangi kelemahan permintaan pelaburan menerusi dana dagangan bursa (ETF) bersandarkan emas dalam tempoh kenaikan kadar faedah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau mengunjurkan sasaran harga emas bagi akhir 2027 boleh susut kepada AS$4,585 seauns atau RM606.59 segram sekiranya Fed menaikkan kadar faedah sebanyak empat kali dan kadar akhir berada pada paras lebih tinggi.
“Malah, sekiranya pegangan ETF yang dikumpulkan sepanjang tiga tahun lalu dilupuskan sepenuhnya susulan kenaikan kadar faedah, tekanan jualan dianggarkan mencecah kira-kira 300 tan, sekali gus berpotensi menolak harga emas kepada AS$4,265 seauns atau RM564.25 segram.
Sementara itu, Goldman Sachs dalam laporan unjuran tahunan logam berharga 2027 turut menetapkan sasaran harga emas pada AS$5,600 seauns atau RM740.86 segram menjelang akhir 2028, unjuran yang diperkenalkan buat kali pertama.
“Semakan terbaharu itu merupakan kali kedua kami menurunkan sasaran harga emas dalam tempoh 11 hari, selepas sebelum ini mengurangkan unjuran daripada AS$5,400 kepada AS$4,800 seauns (kira-kira RM714.41 kepada RM635.03 segram),” katanya.
Goldman Sachs menyifatkan prospek pasaran emas ketika ini hampir menyerupai keadaan pada 2022, apabila kenaikan kadar faedah Fed mengekang permintaan pelaburan melalui ETF di pasaran Barat, manakala pembelian bank pusat terus menjadi penyokong utama harga logam berharga itu.
“Harga emas masih berdepan risiko penurunan dalam jangka pendek dengan turun naik pasaran dijangka kekal tinggi, namun prospek jangka sederhana masih positif berikutan permintaan berterusan daripada bank pusat,” katanya.
Tambahnya, kejutan harga minyak pada 2026 susulan ketegangan di Selat Hormuz lebih menyerupai senario kedua, sekali gus menjelaskan mengapa emas gagal mengekalkan prestasinya sebagai aset lindung nilai inflasi.
“Sehubungan itu, dijangkakan tempoh tiga hingga enam bulan akan datang masih mencabar bagi dana lindung nilai yang menggunakan strategi dagangan berasaskan trend (CTA) dan strategi makro, manakala pembetulan harga semasa mungkin membuka peluang kemasukan lebih menarik kepada pelabur berorientasikan jangka panjang,”tambahnya.
Bagaimanapun, Goldman Sachs berkata, prospek kenaikan emas masih belum terjejas sepenuhnya kerana terdapat potensi pemotongan kadar faedah pada masa hadapan yang mampu mengurangkan tekanan terhadap harga logam berharga itu. – UTUSAN
The post Harga emas cecah paras terendah sejak September 2025 appeared first on Utusan Malaysia.






