sarah04/11/2026 - 09:48 Gambar hiasan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov - Harga emas merosot 7.3% sepanjang Oktober 2026 apabila jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) menekan permintaan terhadap logam berharga itu, ketika harga minyak mentah Brent melonjak 15% akibat ketegangan geopolitik dan kebimbangan bekalan global.
BIMB Securities Research berkata, harga emas menyusut daripada AS$4,177.66 (RM16,919.52) kepada AS$3,874.62 (RM15,692.21) seauns sepanjang bulan berkenaan, dipengaruhi data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh serta peningkatan hasil bon Perbendaharaan negara itu.
Menurut firma penyelidikan tersebut, jangkaan dasar monetari yang lebih ketat oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) turut memberikan tekanan kepada harga emas walaupun ketegangan geopolitik terus menyokong permintaan terhadap aset selamat.
Harga emas sempat mencapai paras tertinggi AS$4,194.24 (RM16,986.67) seauns pada awal Oktober sebelum mencatatkan penurunan ketara menjelang akhir bulan berikutan perubahan sentimen pasaran.
BIMB Securities mengekalkan unjuran harga purata emas pada AS$4,400 (RM17,820) seauns bagi 2026 dengan mengambil kira jangkaan satu lagi kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas oleh Fed pada Disember, yang berpotensi mengukuhkan dolar AS dan mengehadkan kenaikan harga emas.
Harga minyak Brent kekal melebihi AS$100 setong
Sementara itu, harga minyak mentah Brent melonjak kira-kira 15% daripada AS$102.31 (RM414.36) kepada AS$117.64 (RM476.44) setong sepanjang Oktober, dengan kenaikan semakin ketara pada separuh kedua bulan berikutan peningkatan risiko geopolitik dan gangguan bekalan.
Firma penyelidikan itu berkata, harga Brent kekal melebihi AS$100 (RM405) setong sepanjang Oktober, manakala harga purata bulanan mencatatkan AS$108.34 (RM438.78) setong sebelum mencapai paras tertinggi AS$117.64 (RM476.44) pada akhir bulan.
"Prospek harga minyak Brent dijangka terus disokong risiko geopolitik yang berterusan dan keadaan bekalan yang ketat," menurut firma itu dalam nota penyelidikan.
Bagaimanapun, BIMB Securities berpandangan keputusan pilihan raya pertengahan penggal AS berpotensi memberikan tekanan penurunan jangka pendek terhadap harga minyak, khususnya sekiranya Parti Demokrat berjaya menguasai Kongres.
Firma itu mengekalkan unjuran harga purata Brent pada AS$95 (RM384.75) setong bagi 2026 dan AS$85 (RM344.25) setong bagi 2027, dengan perkembangan geopolitik serta keadaan bekalan global dijangka terus mempengaruhi pergerakan harga komoditi berkenaan.- DagangNews.com




